KAJANG, 23 Okt – Pemain industri pertahanan diseru untuk menjalin kerjasama dengan pihak Kementerian Pertahananan Malaysia dalam mengembangkan projek-projek inovasi tempatan yang berpotensi ke tahap pengkomersialan, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
Menurut beliau, industri pertahanan mempunyai potensi yang besar untuk menjana ekonomi negara dengan melihat skopnya yang amat luas meliputi bidang aeroangkasa, maritim, persenjataan, automotif dan barang gunasama ketenteraan.
“Melalui kerjasama ini, banyak peluang pekerjaan yang dapat dimanfaatkan selain membawa lebih banyak kepakaran dalam industri,
“Produk-produk ini juga berupaya memanfaatkan industri pertahanan yangn turut berpotensi menjadi pemangkin ekonomi dalam tempoh jangka panjang,” kata Mohamad ketika ucapan Perasmian Program Business Matching Day : Pengkomersialan Produk Inovasi Pertahanan 2019 di Insititut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Kajang, Selangor hari ini.
Beliau menambah, program ini adalah sebagai salah satu usaha dan sokongan dari pihak kementerian bagi menggalakkan lagi penemuan-penemuan baru yang berpotensi untuk dibawa ke tahap pengkomersialan.
“Bagi memastikan dasar industri berjaya, kerajaan mesti menstrukturkan pelbagai usaha termasuk meningkatkan dana dan projek dalam penyelidikan dan pembangunan dengan pelbagai universiti dan institusi penyelidikan seperti STRIDE dengan lebih berkesan.
“Ini kerana didapati para penyelidikan bekerja secara berasingan. Penyelidikan dan Pembangunan tidak berkesan sekiranya penggunaan teknologi terhad dan tidak menepati keperluan pengguna dan pasaran,” jelasnya lagi.
Justeru itu, pengguna di kalangan agensi keselamatan dan pertahanan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain perlu berkerjasama diantara satu sama lain.
“Industri pertahanan tempatan perlu lebih proaktif dengan sentiasa mengikuti kehendak arus pasaran dan tidak hanya menumpukan penjualan produk atau servis kepada kerajaan Malaysia sahaja.
Pendedahan penyertaan dalam pelbagai program pameran di peringkat serantau dan antarabangsa merupakan platform terbaik bagi mempamerkan hasil produk industri pertahanan.
Setiap pameran ini juga bertujuan menggalakkan perkongsian ilmu berkaitan penyelidikan dan pembangunan, di samping membina jaringan kerjasama, berkongsi maklumat dengan pelbagai pihak seperti pemain industri, pengguna dan juga orang awam.
Program yang bertemakan “Inovasi Pencipta Realiti” ini julung kali diadakan bertujuan untuk menghubungkan produk inovasi dengan pemain-pemain industri yang bersesuai.
Antara jabatan dan agensi luar yang turut dijemput adalah pemain industri, Jabatan/agensi Kerajaan, Sektor Keselamatan Awam, Institusi Pengajian Tinggi, Institusi Penyelidikan (GRI) dan Persatuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian tempatan.
Sebanyak 30 gerai pameran yang disertai oleh pereka-pereka inovasi yang terdiri daripada warga awam Kementerian Pertahanan, ATM, Universiti Pertahanan Awam dan produk Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) Kementerian Tenaga Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd reza Mohd Sany; Jeneral Tan Sri Affendi Buang ; Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan, Puan Mastura Ahmad Mustafa dan Timbalan Ketua Setiausaha Dasar, Encik Ahmad Nadzri Mohd Hassan.