MERSING, 24 Jun – Mahkamah Majistret Kota Tinggi telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 kepada pemilik resort dan bot penumpang yang terlibat dalam kejadian 4 penyelam warga negara asing hilang pada April lalu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, wakil Syarikat Winter Snow Sdn. Bhd mengaku bersalah dan telah dijatuhkan hukuman mengikut Kaedah 12 Peraturan Bot 1953 iaitu beroperasi tanpa keanggotaan yang mencukupi sebagai mana disyaratkan oleh Pegawai Pelabuhan.
“APMM Zon Maritim Mersing telah mendakwa pemilik resort dan bot penumpang yang terlibat dalam kejadian 4 penyelam warga negara asing hilang pada April lalu di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, semalam,
“Mahkamah Majistret Kota Tinggi telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000.00 terhadap pesalah,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.
Pada 6 April yang lalu, 4 penyelam warga asing dilaporkan hilang ketika membuat latihan selaman di perairan Tokong Sanggol dan 3 daripadanya berjaya ditemui, manakala seorang penyelam remaja lelaki tidak ditemui.
“Susulan daripada kejadian tersebut, APMM Mersing telah membuat siasatan lanjut ke atas pengusaha resort dan bot, serta pengendali bagi mengenal pasti punca-punca kemalangan atau kecuaian yang berlaku,
“Hasil siasatan lanjut mendapati, sewaktu hari kejadian, bot tidak dikendalikan dengan kru yang mencukupi sebagaimana yang dikehendaki oleh Pegawai Pelabuhan dibawah Akta Perkapalan Saudagar 1952,” ujarnya.
Menurut Khairul Nizam, pengusaha resort dan bot hadir tanpa diwakili peguam itu didapati bersalah oleh mahkamah kerana telah melakukan kesalahan dibawah Kaedah 12 Peraturan Bot 1953.
Dalam masa yang sama, beliau turut menasihatkan dan mengingatkan kepada semua para pengusaha resort serta bot penumpang untuk mengikuti segala undang-undang yang telah ditetapkan sebelum menjalankan sebarang jenis aktiviti rekreasi di air.
Tegasnya, tindakan itu adalah bagi mengelakkan sebarang kejadian kemalangan di laut berlaku sehingga boleh menyebabkan kehilangan nyawa.-airtimes.my