KUALA LUMPUR, 24 Mei – Pengusaha industri ayam tempatan memberi jaminan dan komitmen untuk terus membekalkan ayam bagi keperluan pasaran tempatan.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataan berkata, komitmen itu disuarakan melalui sesi libat urus antara Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee yang diadakan bersama 12 pemain industri dan persatuan penternak yang diadakan semalam.
Antara pemain industri dan persatuan penternak terbabit adalah Leong Hup Poultry Farm Sdn. Bhd., HLRB Broiler Farm Sdn. Bhd., PWF Corporation Bhd, Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) dan Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS).
Jelasnya, MAFI mengambil maklum semua isu yang dibangkitkan termasuk peningkatan kos pengeluaran ayam, masalah kenaikan berat badan ayam, jangkitan penyakit, keadaan cuaca dan proses Kebenaran Merancang (KM). Ia antara lain menjejaskan operasi dan seterusnya memberikan kesan kepada bekalan ayam,” katanya.
Turut dibincangkan adalah isu berkaitan dengan pemberian subsidi ayam melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar kepada penternak.
MAFI menjelaskan, jabatan itu akan terus mempermudah dan mempercepatkan proses tuntutan subsidi penternak ayam bagi merancakkan aktiviti pengeluar makanan ke arah meningkatkan pengeluaran domestik.
“MAFI sebelum ini pun sudah mempermudahkan prosedur permohonan bagi mempercepatkan pembayaran subsidi kepada penternak ayam,
“Selain itu, tindakan juga sedang diambil dengan menggerakkan lebih ramai pegawai ke peringkat negeri bagi menyegerakan semakan permohonan,” ujar kenyataan itu.
Dalam pada itu, MAFI memaklumkan, setakat ini hanya RM50 juta subsidi telah dibayar walaupun sebanyak RM729.43 juta subsidi disediakan di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia sejak 5 Feb lepas, selaras penetapan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 per kilogram.
Perkara sama turut disebut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.
“Semua penternak yang memenuhi syarat diminta untuk kemukakan permohonan supaya tuntutan dapat disalurkan dalam tempoh yang telah dijanjikan,” tegasnya. -airtimes.my