PULAU PINANG, 7 Feb – Seramai 182 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat telah ditauliahkan sebagai Pegawai Muda dengan pangkat Leftenan Muda di dalam Rejimen Askar Wataniah, hari ini.
Tentera Darat Malaysia (TDM) berkata, Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES Darat ke-39 bagi Zon Utara itu telah disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman mewakili Panglima Tentera Darat, di Dewan Budaya USM, Pulau Pinang.
Kesemua Pegawai Kadet ini terdiri dari Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis.
Pada majlis ini, Leftenan Muda Muhammad Badrul Amin Abdul Halim dianugerahkan sebagai Pegawai Kadet PALAPES Terbaik USM dan Leftenan Muda Raizarul Azfar Ruslan dianugerahkan sebagai Pegawai Kadet PALAPES Terbaik UUM.
Turut dianugerahkan dalam majlis tersebut, Pegawai Kadet PALAPES Terbaik UniMAP kepada Leftenan Muda Arif Akmal Mohd Adnan manakala Pegawai Kadet PALAPES Terbaik UPSI kepada Leftenan Muda Nor Amira Khaleeda Abdul Karim.
Mohammad dalam ucapannya menyarankan agar kesemua Pegawai Muda yang telah ditauliahkan ini dapat mempertingkatkan lagi ilmu dan kemahiran diperolehi sepanjang 3 tahun di dalam latihan PALAPES dalam menempuh setiap cabaran yang bakal dihadapi dalam kerjaya kelak.
Beliau turut berharap, semua kemahiran yang telah dipelajari perlu digilap dan ditambah baik dari semasa ke semasa agar ianya sejajar dengan perkembangan kerjaya nanti.
“Sesungguhnya, majlis pentauliahan sebegini adalah amat bertepatan dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Keutuhan Organisasi, yang memberikan penekanan kepada aspek pengukuhan profesionalisme, pemerkasaan jati diri, pembudayaan integriti serta nilai etika dan moral,
“Tahniah diucapkan kepada semua Pegawai Muda PALAPES Darat yang telah ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Wataniah dengan pangkat Leftenan Muda,” jelas TDM.-airtimes.my