KUALA LUMPUR, 22 Jul – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di 25 lokaliti, membabitkan 3 negeri yang bakal berkuat kuasa mulai Sabtu ini sehingga 6 Ogos depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 3 negeri yang akan menjalani perintah berkenaan susulan pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengesan trend jangkitan COVID-19 di 7 lokaliti di Sabah, 3 di Kelantan dan 15 lokaliti di Pahang.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti pembentangan KKM dan mengambil kira penilaian risiko di kesemua lokaliti berkenaan.
“Selepas mengambil kira penilaian risiko dan trend jangkitan COVID-19, MKN bersetuju untuk mengenakan PKPD di 25 lokaliti membabitkan 3 negeri. Tarikh pelaksanaan perintah ini akan berkuat kuasa mulai 24 Julai hingga 6 Ogos 2021,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.
Menurutnya, PKPD di Sabah membabitkan 2 lokaliti di Tuaran iaitu Kampung Pukak, Mukim Tengah dan PPR Gayang Ria, Mukim Berungis; Kampung Gumang di Kudat; Kampung Lumatai Ulu di Beaufort dan Kampung Banting, Kampung Kawang serta Kampung Ulu Bole di Sipitang.
Sebanyak 15 lokaliti di Pahang turut dikenakan PKPD membabitkan Taman Bahagia; Taman Bahagia Indah; Taman Bahagia Makmur; Taman Bahagia Permai; Taman Bahagia Courts; Seluruh Kampung Padang Lalang; Taman Perumahan Sri Kemuning; Flat Sri Kemuning; Taman Temerloh Jaya; Taman Temerloh Jaya Indah; Taman Temerloh Makmur; Seluruh Felda Lakum dan Kampung Paya Keladan di Termeloh.
“Manakala, Kompleks Penjara Bentong, Bentong, Pahang termasuk kuarters penginapan turut dikenakan PKPD,” tambahnya.
Selain itu, 3 lokaliti di Machang Kelantan iaitu Kampung Joh, Kampung Maka dan Kampung Dewan Besar, Labok turut dikenakan PKPD dalam tempoh yang sama.
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, MKN juga bersetuju menamatkan PKPD di 5 lokaliti, membabitkan satu di Kedah dan 4 di Sabah.
Sehubungan itu, beliau berkata PKPD di Kampung Mangkubau Laut, Pitas; Ladang Sabah Mas Division Segama, lahad Datu; Felda Umas (1,2 dan 4), Kalabakan dan Fasa 4B, Taman Bukit Sepanggar di Sabah ditamatkan mengikut jadual, iaitu 23 Julai 2021.
Arahan penamatan PKPD turut dilaksanakan di Kawasan Perindustrian Bestgrade, Pokok Sena di Kedah yang dikenakan perintah tersebut mulai 10 Julai lalu. -airtimes.my