TUMPAT, 28 Jun – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari 5 Rejimen Renjer Diraja (RRD) mematahkan cubaan menyeludup 650 kilogram beras di pangkalan haram Pak Su Roni, Simpangan di sini hari ini.
Dalam serbuan pukul 12.30 tengah hari itu, anggota penguatkusaan tersebut turut merampas sebuah kereta jenis Nissan Sentra.
Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor Inspektor Reduan Mohidin berkata, rampasan tersebut membabitkan nilai berjumlah RM7,600.
“Ketika sampai di lokasi serbuan, kami dapati beberapa individu sedang memunggah sesuatu dari tebing Sungai Golok ke dalam sebuah kereta yang berada di pengkalan haram Pok Su Roni.
“Terkejut dengan kehadiran anggota penguatkusaan, individu berkenaan telah bertindak melarikan ke dalam semak berhampiran kawasan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di sini hari ini.
Reduan memberitahu, siasatan awal mendapati beras tersebut dibawa masuk dari Thailand untuk pasaran tempatan khususnya di Tumpat.
Katanya, PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor akan terus bekerjasama dengan anggota pasukan keselamatan yang lain dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan pada masa akan datang.