PENGKALAN CHEPA, 10 Jan – Kementerian Pertahanan hari ini memberi sumbangan berbentuk barangan keperluan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.
Sumbangan ini telah diberikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Tan Sri Hamid Bidin, Markas 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa kepada wakil pemimpin tempatan untuk disalurkan kepada semua mangsa terlibat.
Beliau berkata sumbangan ini akan diberikan kepada 11 parlimen di Kelantan dan 4 di Terangganu.
“Sumbangan ini sebagai salah satu keprihatinan Kementerian Pertahanan terhadap penderitaan mangsa-mangsa banjir,
“Antara produk dan barangan yang kita (Kementerian Pertahanan) bagi adalah agak berbeza sedikit dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang memberi sumbangan berbentuk makanan,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.
Menurutnya, barangan keperluan ini adalah berbentuk pakaian, tilam, bantal, tikar dan selimut.
“Barangan ini telah dibawa dari Kuala Lumpur dan diserahkan kepada wakil-wakil pemimpin tempatan untuk diberikan kepada semua mangsa yang terlibat,
“Kita akan berbincang dengan wakil-wakil tersebut untuk mengambil barangan tersebut di kem tentera ataupun anggota tentera sendiri akan menghantar ke kawasan yang terjejas,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Kementerian Pertahanan juga akan memberi sumbangan berbentuk kewangan melalui anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Berhad.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain serta Pegawai-pegawai Kanan ATM. – airtimes.my