KUALA LUMPUR, 18 Jul – Lelaki yang ditahan kerana menghina agama Islam menerusi rakaman video di media sosial semalam direman 4 hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki yang bekerja sebagai penghantar makanan berusia 39 tahun itu direman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
“Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Semalam, suspek berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari di sebuah rumah di Bukit Kuchai, Puchong.
Tangkapan terhadapnya dibuat susulan satu laporan polis oleh orang awam pada jam 3.28 pagi, hari yang sama.
Siasatan dan tangkapan dibuat bersabit satu video berdurasi 36 saat yang tular di media sosial, memaparkan seorang lelaki menghina umat dan agama Islam serta Nabi Muhammad SAW.
Siasatan dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Terdahulu tular sebuah video berdurasi 36 saat memaparkan seorang lelaki dikatakan menghina Nabi Muhammad, Allah serta agama Islam dan turut mencabar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan untuk bersemuka dengannya.
Sejurus kemudian, tular pula beberapa klip video yang memaparkan lelaki terbabit dipukul di hadapan rumahnya oleh beberapa individu yang tidak dikenali, dipercayai berpunca daripada cabarannya itu.-airtimes.my