SHAH ALAM, 15 Sept -Seorang bekas pegawai tentera berpangkat mejar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang pengarah syarikat membabitkan kerugian RM190,000, empat tahun lepas.
Mohd Suhaizal Mat Sulaiman, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rozilah Salleh sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdaya pengarah syarikat itu bahawa surat rujukan kerja selenggaraan sivil, mekanikal dan elektrikal fasiliti infra latihan serta infra mekanikal Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) dengan nilai kontrak RM2.5 juta adalah tulen dan mendorong lelaki itu menyerahkan wang tunai sebanyak RM190,000.
Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi pada 22 Sept 2016.
Tertuduh yang juga bekas Pegawai Senggara 2 Sivil dan Struktur Angkatan Tentera Malaysia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zander Lim Wai Keong menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan memohon kepada mahkamah supaya kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
“Tertuduh telah didakwa pada 26 Feb lepas atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan di bawah Akta SPRM dan dua pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Kesemua saksi tinggal di Johor Bahru dan dalam kes sebelum ini, mahkamah menetapkan 29 Sept ini untuk tarikh sebutan semula kes,” katanya.
Mohd Suhaizal yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan ke atasnya untuk kes hari ini memandangkan dia telah diikat jamin RM15,000 bagi kes di Johor Bahru dan sedang dibicarakan di sana.
“Saya juga tidak mempunyai pendapatan tetap selepas diberhentikan kerja daripada Angkatan Tentera Malaysia. Kini, saya merupakan pengusaha kantin dan perlu menyara seorang isteri dan empat anak,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin. – Bernama