KUALA LUMPUR, 16 SEPT – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan Eksesais COPE TAUFAN 2023 bersama Pacific Air Forces (PACAF) bermula hari ini hingga 29 September 2023.
TUDM dalam satu kenyataan memaklumkan, sepanjang tempoh itu, aset TUDM dan PACAF akan melakukan penerbangan taktikal di kawasan yang telah diwartakan sebagai kawasan latihan membabitkan ruang udara di beberapa negeri antaranya Pulau Pinang, Pahang dan Perak.
“Latihan ini akan melibatkan aset udara pelbagai kategori seperti pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter,
“Latihan ini bertujuan memperkasakan kesiapsiagaan TUDM dalam mempertahankan kedaulatan negara, meningkatkan tahap saling kendali, perkongsian maklumat, kerjasama serta hubungan dua hala antara kedua-dua angkatan udara,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, TUDM menasihatkan orang ramai agar tidak cemas sekiranya melihat aset berkenaan beroperasi di kawasan latihan sepanjang tempoh eksesais berlangsung. -airtimes.my