KUALA LUMPUR, 5 Okt – Pertubuhan Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) mencadangkan hukuman lebih berat seperti penjara mandatori dengan tempoh minima selama 12 bulan, sebat dan rampas aset ke atas pesalah yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran air.
Ketua Penyelarasnya, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata selain dari denda yang tinggi, hukuman yang berat akan dapat memaksa mereka yang terlibat seperti pemilik-pemilik agar bertindak dengan lebih bertangungjawab.
“Hukuman tersebut adalah untuk pengurusan tertinggi termasuk pemilik agar kakitangan-kakitangan bawahan tidak dijadikan “kambing hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata ketika pihak berkuasa sama ada di peringkat kerajaan pusat atau negeri tercari-cari akan penyelesaiannya, REACH melihat hukuman ke atas mereka yang bertanggungjawab tidak cukup berat untuk mencegah kejadiaan pencemaran air itu.
“Satu tindakan yang drastik perlu dilakukan agar dapat menakutkan (deter) mereka yang cuai atau tidak bertanggungjawab,
“Rakyat yang menanggung derita mahu melihat kerajaan bertindak tegas,” ujarnya.
Semalam, sekali lagi penduduk di Selangor dan Lembah Klang terpaksa menderita akibat pencemaran sumber air mentah.
“Perkara yang sama telah berlaku sebelum ini dan seolah-olah rakyat tidak akan terlepas dari seksaan ini. Gangguan bekalan air sudah menjadi satu cara hidup di Lembah Klang,
“Dalam kejadian bulan lepas bekalan kepada 1.2 juta isi rumah telah terjejas. Dalam kejadian terkini lebih 300,000 isi rumah di 273 kawasan di daerah-daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang telah terjejas,” katanya. – airtimes.my