KUALA LUMPUR, 1 Sept – Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Penasihat Khas Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri, hari ini.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan berkata, Ismail Sabri telah menerima surat bertarikh 29 Ogos itu dengan notis sebulan seperti yang dimaklumkan dalam surat berkenaan.
“Perdana Menteri telah menerima peletakan jawatan dengan notis sebulan seperti yang dimaklumkan dalam surat berkenaan,
“Notis sebulan diberikan bertujuan menyelesaikan kerja-kerja yang berkaitan dengan kakitangan beliau, namun dalam tempoh itu, Azalina tidak lagi bertugas di Pejabat Perdana Menteri kerana diberi cuti mulai 1 September sehingga tamat notis pada akhir September,” jelas kenyataan itu.
Dalam masa yang sama, Ismail Sabri turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas perkhidmatan yang telah diberikan sepanjang tempoh beliau berkhidmat.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengerang pada Taklimat Khas Presiden UMNO menegur Ismail Sabri berhubung pengekalan Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara susulan pemenjaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Kuasa Peguam Negara adalah sangat besar dan ‘tidak boleh dipertikaikan’,
“Siapa jadi Perdana Menteri, dia mesti jadikan peguam negara orang dia,” katanya.
Azalina dilantik sebagai penasihat khas Perdana Menteri pada 2 Okt tahun lepas.
Beliau melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat pada 23 Ogos tahun sama, seminggu selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. -airtimes.my