TAWAU, 5 Ogos – Seramai 92 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Sabah dalam Operasi Bersepadu Patuh (Op Patuh), awal pagi tadi.
Kesemua mereka ditahan dalam satu serbuan di rumah kongsi pekerja kilang papan Kampung Tanah Merah Merotai, Tawau.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin berkata, kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal melebihi masa di negara ini dan tiada dokumen perjalanan yang sah.
“Pelbagai helah digunakan antaranya mendakwa passport mereka ditahan oleh majikan tempat mereka berkerja,” katanya semalam.
Jonathan berkata, kesemua PATI yang ditangkap perlu menjalani ujian saringan COVID-19 serta pemeriksaan dokumen sebelum di hantar ke Pusat Tahanan Transit untuk tindakan lanjut.
Beliau menambah, Op Patuh ini merupakan program berterusan bagi menangkap dan mengusir PATI terutamanya di Sabah.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui JIM akan sentiasa membuat pemantauan berterusan di lokasi ‘hotspot’ yang sering menjadi tumpuan PATI seperti penempatan-penempatan kilang, ladang dan penempatan haram,
“Op Patuh JIM merupakan operasi berterusan tanpa mengira waktu sebagai tanda perlunya warga negara asing yang mahu berkerja di Malaysia memiliki dokumen sah dari negara mereka selain sebagai pengajaran kepada mereka yang tidak mematuhi undang-undang di negara ini,” tambahnya. -airtimes.my