JOHOR BAHRU, 25 Ogos – Penaik bendera ketika 31 Ogos 1957, Leftenan Komander (B) Mohamed Sharif Kalam menyifatkan segelintir generasi muda hari ini tidak mengetahui sejarah negara, sekali gus menyebabkan jiwa merdeka mereka kosong.
Beliau yang bertanggungjawab menaikkan bendera ketika hari bersejarah itu turut menjelaskan ada generasi muda kurang memahami kerana tidak berada di zaman kesusahan dan tidak pernah rasa perit jerih untuk mencapai kemerdekaan.
“Sambutan merdeka tiada beza cuma semangat kemerdekaan yang sudah tiada. Jika dahulu, semangat masih berkobar-kobar sebab masih baru merdeka dan masih dalam ingatan.
“Kami rasa segala susah payah apa yang kita korbankan untuk merdeka tetapi zaman sekarang dia (generasi kini) sudah tidak nampak semua itu, hidup-hidup dah senang.
“Banyak yang tidak kenal sejarah, buta sejarah… jadi bila buta sejarah maka habislah maka jadilah yang warnakan bendera hitam, terbalikkan bendera,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian program Sambutan Kemerdekaan ke-62 KPJ Pasir Gudang di sini hari ini.
Mohamed Sharif juga berpendapat kebanyakan masyarakat kini hanya berpendapat tarikh 31 Ogos hanya sekadar cuti umum selain berpendapat perlu ditekankan sejarah kemerdekaan negara supaya ia tidak dilupakan.
“Itulah apabila tidak kenal sejarah, jiwa merdeka itu kosong dan bila lahir semua sudah ada, jadi dia (golongan muda) tidak nampak apa itu sejarah. Macam saya, saya nampak apa itu sejarah… dari susah senang.
“Kita jarang ingatkan orang muda tentang sejarah, tentang merdeka jadi itu yang jadi masalah… kalau dulu penuh bendera, stadium penuh dan tiket kena beli tapi kita sekarang mana, ada stadium pun kosong,” katanya.
Mengimbau detik bersejarah, Mohamed Sharif, 82, bersama dua rakannya, Awang Mohd Salleh dan Oliver Culvelt Samuel diberi kepercayaan menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu pada hari kemerdekaan buat kali pertama ketika itu pada 31 Ogos 1957.
Beliau yang ketika itu baru berusia 20 tahun ditugaskan menaikkan bendera berkenaan selama tiga hingga lima minit.
Khamis lepas, Mohamed Sharif melahirkan rasa kecewa dengan tindakan sesetengah pihak yang menaikkan Jalur Gemilang secara terbalik dan menyifatkan perbuatan tidak bermoral itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan kurang sopan.
Beliau turut berkata tindakan tegas harus dikenakan kepada individu terlibat, supaya perkara tersebut tidak berulang pada masa akan datang. – Bernama