LUMUT, 26 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Perak menahan sebuah bot nelayan tanpa nombor pendaftaran pada kedudukan 2.3 batu nautika barat laut muara Sungai Perak, pada Jumaat.
Timbalan Pengarah Operasi APMM negeri Perak, Komander Maritim Fadzliana Fadzil berkata, tangkapan berkenaan dilakukan oleh bot ronda APMM yang sedang melaksanakan rondaan rutin di perairan Pulau Sembilan.
Beliau berkata, pemeriksaan oleh pasukan operasi mendapati, bot tanpa nombor pendaftaran itu dikendalikan 3 kru termasuk tekong warga Myanmar berusia lingkungan 40 hingga 55 tahun yang juga tidak memiliki sebarang pengenalan diri yang sah.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (a) iaitu tidak memiliki lesen serta Akta Imigresen 1959/63,
“Bot serta kru diiring ke jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Sitiawan, Perak untuk proses penahanan, siasatan dan tindakan lanjut akan dilaksanakan oleh pegawai penyiasat APMM,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam masa yang sama, Fadzlina meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999. -airtimes.my