KUALA LUMPUR, 1 Sept – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Kementerian Kewangan (MoF) menyegerakan pembayaran Bantuan Khas COVID-19 (BKC).
Beliau berkata, dana berjumlah RM3.1 bilion telah disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan bermula hari ini.
“Proses pengkreditan Fasa 1 akan bermula pada 6 September dan dijangka pada selesai pada 10 September 2021,
“BKC akan memanfaatkan seramai 10 juta penerima yang terdiri daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang berkelayakan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Kelayakan penerima BKC adalah untuk kategori penerima miskin tegar dan B40 berdasarkan kriteria kelayakan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) 2021 dengan jumlah pendapatan isu rumah atau warga emas sebanyak RM5,000 ke bawah dan individu bujang adalah RM2,500 ke bawah.
Bagi kategori M40 pula perlu melaporkan cukai pendapatan dengan jumlah pendapatan RM5,001 hingga RM9,000 bagi isi rumah dan bujang sebanyak RM2,501 hingga RM5,000.
Katanya, BKC merupakan sebahagian daripada inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan kerajaan pada 28 Jun lalu, selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi.
Untuk pembayaran fasa satu, kategori miskin tegar bagi isi rumah akan menerima bayaran RM500, warga emas sebatang kara dan bujang akan menerima RM200.
Manakala, pembayaran bagi B40 bagi kategori isi rumah pula sebanyak RM800, warga emas sebatang kara dan bujang sebanyak RM200.
Kumpulan M40 merangkumi kategori isi rumah menerima RM250, manakala warga emas sebatang kara dan bujang merima RM100.
Menurut Ismail Sabri berkata beliau sentiasa peka terhadap keluh kesah rakyat dan berharap pembayaran BKC ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19.
“Kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutama kumpulan sasar,” jelasnya – airtimes.my