KUALA LUMPUR, 21 Nov – Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak perlu menjadi ‘peminta sedekah’ kepada mana-mana parti untuk menerajui kerajaan selepas kalah merebut kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu.
Bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, ramai pemimpin akar umbi UMNO bersetuju sekiranya parti itu kekal tidak menyokong mana mana parti, sebaliknya memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa.
“Kami (Ketua-Ketua Bahagian) telah berbincang menerima mandat rakyat untuk kami menjadi pembangkang dengan 30 kerusi,
“Pada kami, kami tidak perlu untuk merangkak kerana hendak duduk dalam kerajaan. Kami reda menjadi pembangkang membela rakyat sebagai pembangkang yang bermaruah dan berwibawa pada pilihanraya akan datang,
“Biarlah kami jadi pembangkang, siapa hendak buat kerajaan, silakan. Pada saya, UMNO tidak harus menjadi peminta sedekah kepada sesiapa,” jelasnya dalam sidang media pada Isnin.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh, sekali lagi menggesa Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara terhormat meletakkan jawatannya demi untuk memperbaiki parti di masa akan datang.
“Apabila dah jadi macam ini, tolonglah Datuk Seri Zahid perlu ada jiwa yang besar untuk berundur serta merta (jadi Presiden) dan serahkan kepada orang lain untuk menentukan hala tuju parti seterusnya,
“Kami buat kerana sayangkan UMNO. Kami merayu dan mencadangkan, agar Zahid melepaskan jawatannya. Seperti Datuk Seri Najib Razak dah buat pada tahun 2018 apabila BN kalah,
“Supaya kapal ini, kalau dah nakhoda gagal mengawal kapal, biarlah orang lain menyambungnya agar kapal terus berlayar,
“Kalau Zahid masih tidak mahu melepaskan jawatannya, pasti akan timbul banyak keresahan, mungkin akan banyak ketidakstabilan yang akan berlaku,” ujarnya.
Terdahulu, Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin gabungan itu dapat membentuk kerajaan bersama BN.
Beliau mengesahkan, pihaknya sudah membuat beberapa perbincangan bersama wakil daripada BN awal pagi tadi.
Anwar turut berkata, beliau adalah satu-satunya calon perdana menteri kerana BN tidak mencadangkan sebarang nama ketika perbincangan. -airtimes.my