KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Seorang rakyat Malaysia didakwa menjadi dalang penjualan organ di pasaran global oleh media British.
Harga buah pinggang yang dijual adalah pada sekitar £85,000 (sekitar RM 500 ribu).
Laporan yang dikeluarkan oleh akhbar The Sun pada 8 Ogos lalu berkata, lelaki terbabit dikenali sebagai Shaifullizan Abdul Mutalib telah ditemuramah oleh agensi tersebut di Kuching, Sarawak.
“Broker (Shaifullizan) mendakwa beliau telah mengendalikan kira-kira 45 penjualan buah pinggang secara haram dan menggunakan Facebook sebagai medium perantara,
“Beliau mensasarkan mangsa yang menghadapi masalah kewangan di media sosial,” kata laporan itu.
Shaifullizan didakwa telah mula melakukan aktiviti tersebut semenjak tahun 2010 dan mula beroperasi di Facebook semenjak tahun 2018.
“Beliau mula terlibat dalam aktiviti penjualan organ di China namun berhenti berbuat demikian pada tahun 2016,
“Pada ketika itu, Shaifullizan mendapat tahu bahawa organ yang dijualnya adalah diambil dari tahanan Uighur di China,” kata laporan itu.
The Sun turut memuatnaik video wawancara ringkas bersama lelaki terbabit.
Menurutnya, wang yang diberikan oleh pelanggan akan digunakan untuk membeli organ dari negara jiran terutamanya di Filipina. Malah, beliau turut memalsukan dokumen bagi memudahkan urusannya.
“Segalanya tentang duit. Di Filipina dan Indonesia, rasuah adalah tinggi. Dokumen dipalsukan bagi membolehkan organ dipindahkan,” katanya dalam video pendek itu.
Shaifullizan mendakwa beliau mempunyai kira-kira 100 orang yang sanggup menjual organ mereka.
“Ada yang mahu menjual buah pinggang mereka dari Mexico, Brazil, Georgia, Bangladesh dan Malaysia,” ujarnya.
Akhbar Britain tersebut turut melaporkan Shaifullizan telah beroperasi di Filipina. – airtimes.my