KUALA LUMPUR, 20 SEPT – Kerajaan berhasrat menyasarkan peningkatan penggunaan teknologi nuklear sebanyak 40 peratus dengan nilai pelaburan industri RM2.4 bilion menjelang tahun 2030.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata, sasaran itu adalah selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN) yang baru.
Beliau berkata, dasar itu merupakan usaha kementerian terbabit dalam merangka hala tuju strategik jangka panjang yang signifikan bagi memacu pembangunan teknologi nuklear negara sehingga 2030.
“Kita harap dasar ini boleh membantu dasar negara meningkatkan penggunaan teknologi nuklear sebanyak 40% menjelang tahun 2030,” katanya seperti dilapor media selepas merasmikan DTNN 2030, hari ini.
Chang menjelaskan, penggunaan teknologi di Malaysia kini boleh disifatkan baik namun tidak tinggi dan hanya terhad kepada beberapa sektor sahaja seperti perubatan.
Jelasnya, ia turut digunakan dalam meningkatkan jaminan keselamatan makanan termasuk penghasilan beras berkualiti dan lebih tahan penyakit.
Menurut Chang, pelaksanaan DTNN 2030 juga akan membolehkan negara memaksimumkan manfaat penggunaan teknologi nuklear secara aman untuk pembangunan sosio-ekonomi dan meletakkan Malaysia setanding dengan negara-negara maju yang lain.
“DTNN 2030 menetapkan empat teras strategik, 18 strategi dan 13 sasaran utama melibatkan pihak berkepentingan dalam pelbagai sektor ekonomi,
“Selain itu, dasar ini telah mengenal pasti enam sektor fokus utama iaitu perubatan dan penjagaan kesihatan, makanan dan pertanian, pembuatan peranti dan peralatan, pengurusan alam sekitar dan sumber asli, aplikasi perindustrian serta keselamatan dan sekuriti nuklear,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Chang berkata, DTNN juga menyokong matlamat negara ke arah mencapai hasrat menjadi negara berteknologi tinggi seperti yang diaspirasikan dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030. -airtimes.my