KUALA LUMPUR, 3 Mei – Seorang anggota polis yang sedang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Op COVID-19 di Plaza Tol Kajang Selatan maut selepas dilanggar sebuah kenderaan Toyata Hilux dipandu seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol awal pagi tadi.
Mangsa, Koperal Safwan Mohd Ismail, 31, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dalam satu kenyataan berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.11 pagi melibatkan kenderaan Toyota Hilux dengan seorang anggota polis yang sedang bertugas di SJR Lebuhraya LEKAS.
Menurutnya, siasatan mendapati pemandu Hilux seorang lelaki yang berusia 44 tahun itu memandu dari arah Kajang menuju ke arah Plaza Tol Kajang Selatan hilang kawalan apabila sampai di SJR.
“Pemandu tersebut disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga melangar seorang anggota polis yang sedang bertugas dan melanggar kenderaan anggota yang diletakkan ditepi jalan,
“Laporan polis telah dibuat oleh penyelia sekatan jalan raya dan pemandu Hilux masih belum membuat laporan polis,
“Kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Koperal Safwan.
Jenazah Allahyarham kini berada di Hospital Serdang dan dijangka akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Tanjung Rambutan, Perak. – AirTimes