PUTRAJAYA, 17 Nov – Seramai 23 individu termasuk anggota penguat kuasa sebuah jabatan kerajaan hari ini dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, untuk prosiding reman dipercayai berhubung kes pemalsuan cap sempadan.
Sebahagian daripada mereka dibawa menaiki bas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beberapa lagi dengan kereta tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 10 pagi.
Seramai 19 lelaki dan empat wanita yang memakai baju jingga dan bergari itu kemudiannya dibawa ke tingkat satu mahkamah bagi mendapatkan perintah reman.
Kesemua mereka memakai pelitup muka dan diperiksa suhu sebagai langkah mengekang penularan COVID-19.
Difahamkan, beberapa individu lain akan turut direman di Johor Bahru, Johor; Kuching, Sarawak; dan Kota Kinabalu, Sabah; hari ini bagi membantu siasatan kes pemalsuan cap sempadan.
Sementara itu, di Johor Bahru, seramai 13 individu termasuk sembilan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dikenakan perintah reman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas kesalahan dipercayai terlibat dalam kes pemalsuan cap sempadan negara.
Turut direman, empat orang awam yang dipercayai bertindak selaku ejen dalam membantu kegiatan jenayah itu dengan mendapatkan khidmat cap berkenaan untuk warga asing.
Perintah reman sehingga 23 November itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mohammad Salehuddin Abd Sani yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Menurut sumber SPRM, anggota JIM yang terlibat dalam kegiatan itu menerima suapan anggaran RM100 hingga RM500 bagi setiap pasport sejak 2017 hingga tahun ini.
Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kanan SPRM Mahadi Abd. Jumaat.
Sementara itu, empat orang awam direman yang bertindak sebagai ejen diwakili peguam Noordin Hussein, Baharudin Baharim dan Amarpreet Singh manakala sembilan anggota JIM diwakili peguam S. Bharathi.
Terdahulu, kesemua individu yang berumur antara 35 hingga 45 tahun itu tiba di mahkamah menaiki sebuah bas pada pukul 9.15 pagi.- Bernama