Sejak beberapa tahun lalu, Malaysia tidak lagi mengeluarkan peluru senjata kecil bagi kegunaan pasukan keselamatan termasuklah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sebaliknya dibeli dari luar.
Import peluru senjata kecil ini iaitu kaliber 5.56mm merupakan kontrak besar melibatkan nilai puluhan juta.
Misalnya pada Mac tahun lepas, kontrak bernilai RM30.6 juta dianugerahkan kepada syarikat tempatan, Traumland Sdn. Bhd. untuk membekalkan 12.5 juta butir peluru kaliber 5.56mm.
Ini merupakan angka besar, tidak termasuk bekalan bagi lain-lain jenis peluru yang berbeza saiz atau kaliber.
Sebelum ini sejak lebih lima dekad, bekalan peluru ATM dan pasukan keselamatan lain dikilangkan oleh syarikat tempatan, SME Ordnance atau dulunya dikenali sebagai Syarikat Malaysia Explosive Sdn. Bhd. (SME).
Tidak dapat dipastikan mengapa SMEO tidak mengilangkan lagi peluru kepada ATM, atau keputusan untuk mengimport peluru dibuat atas sebab kos.
Sekali gus industri pegeluaran peluru mempunyai potensi ekonomi untuk syarikat lain bersaing memenangi kontrak sedemikian.
Jadi, tidak menghairankan apabila sepanjang tempoh empat tahun lalu terdapat beberapa pihak berusaha untuk menjalinkan kerjasama dengan industri luar negara untuk membina kilang peluru di sini.
Sebuah kilang peluru dicadang dibina di Perlis pada tahun 2019 melibatkan pihak tempatan
dengan syarikat pengeluar peluru terkemuka dunia dari Switzerland, Ruag Ammotec.
Ruag Ammotec dijangka melabur sebanyak RM500 juta di kawasan perindustrian Pauh Putra
yang mana projek ini dikatakan bakal menjadikan Malaysia sebagai penghubung kepada rangkaian pengeluaran dan pemasaran di benua Asia.
Ketika itu pembinaan kilang dijangka dimulakan setahun kemudian dengan menawarkan 200 peluang pekerjaan sebahagian besarnya tenaga mahir.
Ia juga dikatakan sebagai kilang peluru paling canggih di negara ini.
Selain membuka kilang, Ruag Ammotec juga akan memindahkan teknologi tinggi ke Malaysia.
Antara yang dirancang ketika itu ialah untuk memasarkan peluru yang dikilangkan di sini ke serata dunia.
Bagaimana pun, projek ini tidak diteruskan manakala syarikat induk Ruag pula tidak lagi terbabit dalam industri pertahanan apabila Ammotec diambil alih firma Baretta Holding.
Kerajaan Negeri Sembilan pula pada Mac lalu mengumumkan sebuah kilang peluru akan dibina di negeri itu oleh syarikat Myaltech Sdn. Bhd. (Myaltech) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan.
Projek pembinaan kilang peluru bernilai RM80 juta di Senaling, Kuala Pilah itu dikatakan hanya menanti kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Myaltech akan mendapatkan kepakaran daripada syarikat pengeluar peluru terkenal dari Switzerland bagi menghasilkan peluru kaliber kecil.
Bagaimanapun, tiada perincian jelas tentang rakan strategik dari Switzerland yang akan terbabit dalam projek ini serta ke mana pengeluaran peluru tersebut dipasarkan.
Tidak mahu ketinggalan dalam persaingan sama, projek untuk membina kilang peluru juga diumumkan kerajaan Pahang pada Oktober tahun lalu di Kechau Tui Padang Tengku, Kuala Lipis.
Kilang peluru ini dibangunkan oleh syarikat tempatan, Ketech Asia Sdn. Bhd. (Ketech Asia) melibatkan pajakan tanah dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang.
Majlis pelancaran projek kilang ini disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Hasrat kerajaan Pahang adalah untuk mewujudkan Bandar Pertahanan (Defence City) di Kuala Lipis.
Fasa pertama kilang di kawasan seluas 40.5 hektar yang dijangka siap pada penghujung tahun depan melibatkan anggaran pelaburan berjumlah RM120 juta.
Apabila beroperasi kelak, ia dijangka menyediakan 300 peluang pekerjaan awal terutama kepada masyarakat tempatan.
Walaupun tidak dinyatakan secara spesifik tetapi kebarangkalian operasi kilang peluru ini melibatkan kerjasama teknologi dari Turkiye.
Ini kerana pihak Ketech Asia telah menandatangani perjanjian dengan syarikat Ateşçi Medikal Mühendislik Ltd (Atesci) dari Turkiye untuk projek kilang pengeluaran peluru senjata kecil di Malaysia semasa pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 di Kuala Lumpur.
Atesçi yang menceburi industri ini sejak tahun 2002 merupakan pengeluar jentera dan perkakasan bagi mengilangkan peluru.
Terbaharu, penubuhan Bandar Pertahanan Kuala Lipis dikatakan bakal dirasmikan oleh kerajaan Pahang pada Januari tahun hadapan yang mana projek kilang peluru adalah sebahagian daripada pembangunannya.
Tidak sekadar kilang peluru, beberapa industri lain juga dirancang dibuka di sini termasuk pembuatan peralatan dan pemasangan jentera berat untuk kegunaan pertahanan.
Ini semestinya satu perkembangan yang baik untuk industri pertahanan negara, cuma sama ada ia benar-benar terlaksana hanya masa yang dapat menentukan. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Kolumnis #Pertahanan