KUALA LUMPUR, 22 Nov – PAS memberi jaminan tidak akan melaksanakan langkah-langkah yang menekan mana-mana pihak khususnya di Sabah dan Sarawak sekiranya ia menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan baru kelak.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan, ini kerana Sarawak dan Sabah yang rakyatnya kini menjalani kehidupan yang harmoni mengikut adat resam dan agama masing-masing.
Jelasnya, PAS amat tegas dalam mematuhi prinsip Islam iaitu ‘tiada paksaan dalam beragama’ yang mana seseorang bukan Islam itu tidak boleh dipaksa menganut Islam melainkan atas kerelaan dan kefahaman mereka sendiri.
“PAS memberi jaminan akan terus mengamalkan konsep musyawarah dan perbincangan dengan semua rakan-rakan kongsi dalam kerajaan meskipun mempunyai jumlah kerusi terbesar di kalangan parti-parti yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan kelak,
“Justeru itu PAS menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa PAS akan menggunakan kedudukan yang lebih dalam kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar yang menekan mana-mana pihak, apatah lagi di negeri-negeri Sarawak dan Sabah yang rakyatnya menjalani penghidupan yang harmoni mengikut adat resam dan agama masing-masing,”katanya pada satu kenyataan pada Isnin.
Takiyuddin berkata PAS sentiasa menghormati kepelbagaian dan kemajmukan rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, adat resam dan agama dan mengakui hak dan kebebasan mereka mengamalkan cara hidup masing-masing berdasarkan jaminan Perlembagaan Persekutuan.
“PAS telah membuktikan perkara ini setelah menunjukkan keterbukaan termasuk menjamin hak rakyat pelbagai kaum dan agama dalam pemerintahan yang diterajui oleh PAS di Kelantan lebih dari 30 tahun,
“Malahan PAS amat tegas dalam mematuhi prinsip Islam iaitu ‘tiada paksaan dalam beragama’ dengan mana tidak boleh dipaksa seseorang bukan Islam untuk menganut Islam melainkan atas kerelaan dan kefahaman mereka sendiri,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli PAS terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kelayakan termasuk sebilangan besarnya para profesional dalam pelbagai bidang.
Tambahnya, Ahli-ahli Parlimen PAS akan menunaikan tanggungjawab secara profesional juga apabila diberikan kedudukan dan peranan di dalam kerajaan dan agensinya. -airtimes.my