KUALA LUMPUR, 31 Dis – Kerajaan telah memutuskan negeri Sarawak dan Kelantan yang kini berada di Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan beralih ke Fasa 3 berkuat kuasa 3 Januari (Isnin) ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beliau menjelaskan, dengan peralihan fasa bagi kedua-dua negeri berkenaan, bermakna kesemua
negeri di Malaysia telah beralih ke Fasa 4 PPN.
“Kerajaan telah bersetuju supaya Sarawak dan Kelantan beralih Fasa PPN berkuatkuasa Isnin, 3 Januari 2022,
“Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 4 PPN adalah sama dengan sebelum ini,
“Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Hishammuddin menyeru kepada orang ramai agar tidak berasa terlalu selesa kerana COVID-19 masih satu ancaman kepada keselamatan dan kesihatan terutama dengan penularan varian Omicron.
“Semua pihak harus terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dengan penuh disiplin dan bertanggungjawab,
“Orang ramai diingatkan pakai pelitup muka, amal penjarakan fizikal, dapatkan dos penggalak sekiranya layak, lakukan ujian pengesanan COVID-19 secara berkala dan amalkan ujian, lapor, mengasingkan, memaklumkan dan mencari (TRIIS) dengan sebaik mungkin,” tambah Hishammuddin.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pihak khususnya kerajaan negeri yang bertungkus-lumus mengurus situasi pandemik di negeri masing-masing terutama demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan di bawah PPN.-airtimes.my