Dalam perdebatan mengenai kesan buli, sesetengah pihak berpendapat bahawa buli boleh membantu menguatkan mental seseorang. Walaupun sesetengah individu mungkin kelihatan ‘lebih kuat’ selepas menghadapi pengalaman buli, namun kesan psikologi jangka panjang biasanya lebih mendalam dan negatif, berbanding kesan positif yang kononnya dibawa oleh pengalaman tersebut.
Budaya buli sering berlaku di sekolah, universiti, dan tempat kerja, malah dalam latihan berasrama atau ketenteraan, di mana pelajar baharu atau pekerja baru sering menjadi mangsa senior atau rakan sekerja yang lebih berpengalaman. Tindakan buli merangkumi serangan fizikal, mental, dan emosi yang sering meninggalkan trauma mendalam.
Walaupun ada individu yang dapat menyesuaikan diri dan belajar untuk menghadapi tekanan, kebanyakan mangsa buli sebenarnya mengalami penurunan keyakinan diri dan gangguan mental seperti kemurungan, kecemasan, serta kecenderungan untuk menyendiri.
Mutakhir ini, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sekali lagi menjadi tumpuan umum berikutan kes-kes buli yang kembali membelenggu institusi itu. Isu buli di UPNM dilihat menjadi lebih sensitif pada masa kini, sehingga mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Jika kita merasakan perhatian diberikan adalah keterlaluan, adlah wajar kita menyingkap kembali sejarah yang pernah melanda institusi itu.
Pada 2017, negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang cedera apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.
Berikutan itu, enam bekas penuntut UPNM dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lalu selepas didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan.
Selain itu, pada 31 Oktober 2024, seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Awam (UPNM), Amirul Iskandar Norhanizan, 22, didakwa di atas pertuduhan mencederakan pegawai kadet junior, Muhammad Salman Mohd. Saiful Rash, 20, dengan menggunakan seterika wap panas.
Seterusnya, pada 10 Nov, PDRM mengesahkan melalui satu kenyataan berkenaan kes kecederaan seorang pelatih Universiti Pertahanan Awam (UPNM) yang dipercayai cedera akibat dipijak pelatih senior.
Media tempatan melaporkan penuntut tahun satu itu mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang.
Meskipun latihan ketenteraan terkenal dengan ketegasan dan disiplin yang tinggi, budaya buli tidak seharusnya menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran di dalam institusi ini.
Latihan ketenteraan bertujuan membentuk karakter, ketahanan fizikal, dan keteguhan mental pelajar untuk menghadapi cabaran dunia ketenteraan. Namun, sebahagian pelajar senior mengambil kesempatan dengan mengenakan hukuman keterlaluan dan menyalahgunakan kuasa mereka.
Tindakan sedemikian bukan sahaja memberi tekanan emosi yang mendalam, malah melanggar etika profesional seorang anggota tentera.
Kes-kes ini sering kali tidak dilaporkan oleh mangsa kerana mereka takut dengan ancaman atau takut dilabel sebagai lemah oleh rakan-rakan mereka. Kekangan dalam laporan ini menyebabkan kes buli semakin merebak tanpa dapat dibendung dengan berkesan.
Pada 12 Nov, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerusi hantaran Facebook beliau bertitah, latihan keras dalam tentera adalah perkara biasa kerana bertujuan membina kekentalan mental dan jiwa yang kuat, seperti pernah dilalui oleh Baginda sewaktu menjalani latihan ketenteraan.
“Namun ini bukan bermakna ke tahap buli atau menyeksa seseorang itu sehingga mendatangkan kecederaan fizikal atau meragut nyawa. Ini tindakan tidak berperikemanusiaan,” titah Sultan Ibrahim.
Penglibatan pihak pengurusan institusi dalam menangani isu buli adalah amat penting. Langkah-langkah ini termasuklah melaporkan sebarang kejadian buli dengan segera, memberi sokongan kepada mangsa, dan menjalankan tindakan disiplin ke atas mereka yang terlibat. Penglibatan ibu bapa juga memainkan peranan dalam memantau keadaan anak-anak mereka dan berkomunikasi dengan pihak institusi mengenai keselamatan anak-anak mereka.
Budaya buli dalam kalangan pelajar tentera perlu dibanteras sepenuhnya demi menjaga martabat dan nilai kemanusiaan dalam dunia ketenteraan. Melahirkan seorang anggota tentera yang berintegriti bukan sahaja bergantung pada kekuatan fizikal dan mental tetapi juga pada sifat hormat dan keprihatinan antara rakan seperjuangan.
Kesimpulannya, adalah tidak benar untuk menganggap bahawa buli boleh menguatkan mental seseorang. Pembentukan ketahanan mental lebih berkesan jika dilalui dalam suasana yang sihat dan terkawal, di mana seseorang diberi peluang untuk berkembang tanpa rasa takut dan dihormati. Buli bukan sahaja merosakkan mangsa tetapi turut melemahkan integriti masyarakat secara keseluruhannya. -airtimes.my
#airtimes #buli #kesihatanmental #bulitentera #pelajartentera #latihanketenteraan