PADANG TERAP, 11 Dis – Enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kuala Kangsar, Perak yang terlibat dalam kes buli digantung persekolahan serta merta selama dua minggu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) turut mencadangkan agar pelajar itu ditamat pengajian mereka.
” JDM MRSM telah mengambil langkah awal dengan memanggil keseluruhan 10 pelajar tingkatan satu hingga tiga yang terlibat dengan insiden berkenaan untuk siasatan lanjut,
“Dalam laporan yang disediakan, 6 pelajar terlibat memukul mangsa buli berkenaan, manakala empat pelajar yang berada di lokasi kejadian telah didapati bersubahat dan membuat provokasi,
“Pelajar-pelajar ini berada di tingkatan 1 hingga tingkatan 3,” katanya.
Dalam masa yang sama, Mahdzir menegaskan pihaknya mengambil serius kejadian buli membabitkan pelajar di institusi pendidikan bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu dan tindakan sewajarnya akan diambil.
“MARA juga mengambil tindakan penggantungan itu berdasarkan siasatan dalaman dan mengikut peruntukan hukuman yang telah ditetapkan JDM,
“Malang bagi MRSM yang mempunyai pelajar-pelajar yang pandai, dipanggil temuduga sebagai saringan, kualiti pendidikan, ko-kurikulum dan jati diri mereka diambil kira untuk kemasukan ke MRSM,
“Tetapi masih juga berlaku kejadian seumpama itu, jadi saya rasa amat kecewa kerana mereka tidak sepatutnya terdedah dengan perbuatan terbabit,” ujarnya.
Semalam, polis menahan 6 suspek kes buli didakwa berlaku di MRSM Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, seperti yang tular di media sosial pada Khamis.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kesemua suspek berusia 13 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan berkaitan kes berkenaan kira-kira 6 petang.
“Setakat ini 6 pelajar telah ditahan semalam dan mereka masih berada dalam tahanan sehingga kini,” jelasnya.
Tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai, tular di media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat dan menerima kecaman orang ramai. -airtimes.my