KUALA LUMPUR, 18 Apr – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, tuduhan dilemparkan terhadap dirinya dan UMNO yang mendakwa sengaja menghasut rakyat mengenai pengeluaran khas wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah tidak benar.
Beliau berkata, hampir pasti juga tidak benar pengeluaran kemudahan pengeluaran khas RM10,000 akan menjejaskan strategi pelaburan KWSP.
“Apa yang pasti ramai akan mendapat manfaat disebalik pengeluaran itu termasuk mereka yang mungkin gigih mentohmah UMNO dan saya sebelum ini,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya pada Isnin.
Ahmad Zahid berkata, para pencarum akan mendapat manfaat selain menerima tempias daripada pertambahan aliran tunai dalam pasaran.
“Sudah tentu pengeluaran khas wang simpanan KWSP lebih bermakna tatkala umat Islam akan menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” ujarnya.
Jelasnya, beliau turut rasa bersyukur kerana pengeluaran khas wang simpanan KWSP untuk mereka yang telah diluluskan permohonan dipercepatkan daripada 20 kepada 18 April hari ini.
Namun, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menempelak segelintir pihak yang sebelum ini mendakwa pengeluaran khas ini adalah di luar kemampuan KWSP.
Katanya, selepas kelulusan dan kini disegerakan pengeluaran maka terbukti KWSP sememangnya mempunyai kemampuan untuk membenarkan permintaan rakyat.
“Terima kasih kepada yang memberi dan meluluskan pengeluaran khas wang simpanan KWSP milik saudara dan saudari ini,
“Selepas dibenarkan kini disegerakan maka terbuktilah KWSP sememangnya mempunyai kemampuan untuk membenarkan permintaan rakyat,
“Tahniah kepada semua yang bersama dalam desakan kepada Kementerian Kewangan supaya membenarkan pengeluaran itu sebelum ini,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Zahid turut mengingatkan pemohon supaya menggunakan wang tersebut dengan sebaiknya.
“Tentunya pengeluaran khas wang simpanan KWSP lebih bermakna tatkala umat Islam akan menyambut ketibaan hari raya tidak lama lagi,
“Saranan ini mungkin tidak populis, namun beringatlah desakan pengeluaran khas wang simpanan KWSP sedari awal bukan bertujuan memewahkan sambutan perayaan. sebaliknya untuk membantu mengurangkan bebanan rakyat yang masih bergelut dengan impak buruk pandemik COVID-19,
“Justeru, gunakanlah ia sebaik mungkin untuk bangkit dan keluar daripada kesulitan yang sedang dihadapi dan saya doakan segala usaha saudara saudari dipermudahkan,” tambahnya.
Terdahulu Kementerian Kewangan mengumumkan pembayaran pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 pada 20 April diawalkan kepada hari ini. -airtimes.my