JOHOR BAHRU, 12 JAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Gelang Patah telah mencatat kejayaan luar biasa di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, dalam tempoh lebih 20 tahun, pelabuhan itu telah menjadi antara tiga pelabuhan utama di Asia Tenggara dan menduduki tempat ke-15 dalam senarai pelabuhan utama dunia.
“Kawasan pelabuhan ini yang dahulunya sebuah perkampungan nelayan kini menjadi hub pemindahan kontena paling sibuk di Malaysia,
“Pelaburan dalam PTP telah menghasilkan limpahan rantaian ekonomi seperti peluang pekerjaan dengan pendapatan tinggi yang boleh memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat Johor, bahkan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya,
“Pelaburan sebanyak RM8.7 bilion telah dibelanjakan untuk pembangunan terminal PTP yang turut menarik pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung tempatan berjumlah RM4.4 bilion dengan menjana lebih 20,000 peluang pekerjaan.,” kata Perdana Menteri di akaun media sosial rasmi beliau.
Jelasnya, kejayaan ini adalah hasil daripada perancangan dan pengurusan yang baik serta komitmen warga PTP.
“Saya percaya kejayaan membanggakan ini lahir daripada perancangan yang baik serta pengurusan yang mantap dan cekap,
“Lebih daripada itu, PTP tidak mungkin mencapai ke tingkat yang kita saksikan hari ni tanpa komitmen, disiplin dan semangat yang ditunjukkan seluruh tenaga penggerak di PTP,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri hadir ke PTP untuk beramah mesra dengan kakitangan pelabuhan dan kumpulan MMC.
Beliau telah diberikan taklimat dan perancangan jangka panjang oleh pihak pengurusan pelabuhan.
“Saya nyatakan komitmen untuk menyokong dan mempermudahkan sebarang usaha sama ada daripada syarikat berkaitan kerajaan atau swasta,
“Khususnya bagi industri atau kegiatan strategik yang penting bagi negara supaya kegiatan ini berkembang maju, sekali gus dapat mengangkat kedudukan dan martabat negara,” ujar beliau. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Johor