KUALA LUMPUR, 17 Nov – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, keputusan untuk mewajibkan kira-kira 1.7 juta pekerja asing yang bekerja di Malaysia bagi menjalani saringan kesihatan COVID-19 akan diputuskan Jumaat ini.
Beliau berkata, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memperincikan prosedur operasi standard (SOP) bagi membenarkan ujian saringan berkenaan dilaksanakan termasuk pembiayaannya serta tempoh masa ujian saringan berkala itu.
“Jawatankuasa taktikal yang saya pengerusikan hari ini telah mendengar pembentangan dari wakil Kementerian Sumber Manusia,
“Kita sudah berbincang dengan PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan mereka setuju menanggung sebahagian kos untuk swab test dikalangan pekerja asing. Daripada 1.7 juta pekerja, yang membayar hanyalah 1 juta pekerja sahaja (mencarum di bawah PERKESO),
“Kalau PERKESO bayar, dia hanya bayar RM150. Saya difahamkan untuk kos bagi setiap test Polimerase Chain Reaction (PCR) berharga RM300 hingga RM350. Bermakna pekerja kena bayar,
“Kita juga menimbang supaya majikan boleh membayar ujian tersebut. Kita juga ada cadangkan RTK antigen kerana kosnya sekitar RM30 atau RM38 sahaja, kalau buat sendiri pun tidak terlalu mahal,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.
Tambahnya, kerajaan juga sedang mengkaji berapa masa yang akan diambil dan berapa jumlah makmal yang akan memproses keputusan ujian ini sekiranya swab test dijalankan terhadap 1.7 juta pekerja asing.
“Banyak perkara yang perlu dikaji sebelum melaksanakan perkara ini,
“Pada peringkat awal ini, kerajaan akan fokus kepada kawasan yang terdapat ramai pekerja asing seperti di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Jadi kita fokus pada kawasan ini dulu,” tambahnya.
Menurutnya, perkara-perkara tersebut akan diputuskan dan dibentangkan semula pada sidang khas MKN pada Jumaat ini. – airtimes.my