KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Gerakan Tanah Air (GTA) sebagai gabungan parti politik baharu berlandaskan Melayu dan Islam bagi menentang UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, gerakan ini melibatkan gabungan parti Pejuang, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Perikatan India Muslim Malaysia (Iman), Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), badan bukan kerajaan (NGO), ahli profesional dan akademik serta individu tertentu.
Jelasnya, GTA bukan hanya dari gabungan parti-parti politik, namun ia turut di terajui oleh pelbagai kepimpinan Melayu dari NGO yang bersatu hati dan komited untuk merubah sikap dan masa depan orang Melayu dalam membangunkan negara ke arah yang lebih unggul.
“Orang Melayu perlu memilih samada untuk kekal terpinggir dan terkebelakang dipimpin oleh pemimpin Melayu yang rasuah, tiada integriti, bermasalah moral atau memilih pemimpin Melayu baharu yang benar-benar bersih cekap, amanah,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan GTA tidak memusuhi bangsa-bangsa lain namun hanya mahu negara Malaysia dipimpin oleh pemimpin yang menjadi contoh kepada negara lain.
“GTA menyeru masyarakat untuk bersama-sama gerakan politik baharu ini demi menjamin masa depan yang lebih untuk orang Melayu dan negara secara seluruhnya,” ujarnya.
Tambahnya lagi, gerakan tersebut akan dipimpin oleh beliau sendiri dan bersama pimpinan orang Melayu lain dari pelbagai latar belakang. – airtimes.my