Menurut peguam Datuk Shaharudin Ali, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan berhubung perkara itu di dalam prosiding reman Hasanah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Katanya, alasan itu merupakan hujah yang dikemukakan SPRM untuk melanjutkan tempoh reman Hasanah sehingga tujuh hari lagi.

“SPRM juga mengemukakan alasan untuk mengesan dua Putera Arab Saudi dan ingin mengeledah rumah Hasanah bagi mencari banyak bukti membabitkan kes ini.

“Bagaimanapun Mahkamah Majistret Putrajaya menolak permohonan itu dan hanya membenarkan tempoh reman dilanjutkan sehingga satu hari lagi iaitu sehingga esok,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Pada masa sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan itu.

Katanya, sesiapa sahaja boleh dipanggil memberikan keterangan

“No comment (Tidak mahu ulas). Sesiapa sahaja yang boleh membantu siasatan akan dipanggil,” katanya.

Mahkamah Majistret di sini hari ini melanjutkan tempoh reman Hasanah sehingga esok yang disiasat berhubung kes salah guna wang peruntukan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Wanita itu sebelum ini direman lima hari sejak Rabu lalu mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Suspek berkenaan ditahan SPRM kerana disyaki turut terlibat bersama tujuh Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) termasuk bekas timbalan ke­tua pengarah bergelar Datuk kerana didakwa menyalahgunakan wang tersebut yang di­simpan di Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri untuk tujuan peribadi.