KUALA LUMPUR, 2 Nov – Ahli Dewan Negara, Senator Ras Adiba Radzi memaklumkan bahawa salah seorang pegawai khasnya disahkan positif COVID-19.
Beliau berkata pegawai khas yang juga adiknya, Ras Afiona Radzi telah disahkan positif setelah melakukan ujian saringan dan kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh.
“Untuk makluman semua, saya dan 10 orang ahli keluarga sedang menunggu keputusan saringan COVID-19,
“Dalam kesempatan ini, saya ingin memohon maaf sekiranya telah menyusahkan mana-mana pihak susulan kejadian yang menimpa saya dan keluarga,
“Namun, saya reda dengan apa jua dugaan dan cabaran yang mendatang. Saya memohon agar Yang Esa melindungi kita semua dari pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan mengusulkan penangguhan sesi persidangan Dewan Rakyat pada 1 tengah hari berikutan penularan gelombang ketiga COVID-19 negara.
Keputusan itu diambil selepas mesyuarat tergempar pada 10.30 pagi yang dihadiri Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan ketua-ketua Whip parti serta wakil Ketua Pengarah Kesihatan yang membincangkan beberapa ketetapan norma baharu persidangan. – airtimes.my