LUMUT, 3 Mac – Tentera Laut Diraja Thailand (TLDT) telah mengadakan lawatan ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut sebagai salah satu lokasi persinggahan bagi melengkapkan siri latihan dalam program Pelayaran Latihan Laut Pegawai Kadet TLDT.
Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan berkata, 2 buah kapal milik TLDT iaitu HTMS Bangpakong (FF 456) dan HTMS Naresuan (FFG 421) yang membawa 249 orang Pegawai Kadet TLDT telah berlabuh di Pangkalan TLDM Lumut bermula 1 Mac lalu.
“Seramai 249 Pegawai Kadet TLDT telah mengikut program pelayaran tersebut dan memilih Pangkalan TLDM Lumut sebagai salah satu lokasi persinggahan bagi melengkapkan siri latihan mereka,
“Program lawatan yang dijadualkan selama 3 hari itu tidak melibatkan sebarang aktiviti bersentuhan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sejajar langkah pencegahan penularan COVID-19,” jelas kenyataan itu,
Menurut kenyataan itu, kedua-dua kapal jenis Frigate milik TLDT di Tambatan Pangkalan Lumut telah disambut oleh Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama Farizal Myeor serta barisan pegawai markas Pemerintahan Armada Barat.
“Timbalan Komandan Akademi TLDT, Laksamana Muda Pracha Sawangjang turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Ajis,” tambahnya.
TLDM turut menjelaskan, pihaknya sentiasa komited untuk memperkasakan kerjasama pertahanan bersama negara serantau.
Tambahnya, aktiviti sebegini turut memberi peluang kepada TLDM memperhalusi pemasalahan berkaitan isu keselamatan maritim disamping mencerminkan hubungan erat yang kukuh antara Malaysia dan Thailand.-airtimes.my