PUTRAJAYA, 5 Mei – Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan Task Force Operasi Pematuhan bagi pemantaun dan penguatkuasaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara.
Ismail Sabri berkata pasukan Task Force Operasi Pematuhan itu melibatkan 14 agensi kerajaan yang telah diberi kuasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pelaksanaan pematuhan PKPB.
Antara 14 agensi terlibat adalah seperti:
1. Polis Diraja Malaysia (PDRM)
2. Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
3. Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)
4. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)
5. Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA)
6. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)
7. Jabatan Kerja Raya (JKR)
8. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
9. Majlis Keselamatan Negara (MKN)
10. Jabatan Tenaga Kerja (JTK)
11. Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH)
12. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
13. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)
14. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)
“Jumlah anggota pasukan petugas akan ditambah lagi seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB),” katanya ketika sidang media hari ini.
Menurutnya lagi, jumlah anggota Task Force tersebut akan ditambah lagi dari semasa ke semasa mengikut keperluan.
Tambahnya lagi, pasukan Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) turut ditubuhkan di peringkat daerah yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah (KPD).
“Pasukan ini dianggotai secara tetap oleh PDRM, ATM, RELA dan APM. Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan ditambah untuk menganggotai Pasukan Pematuhan PKPD,” katanya.
Jelas beliau, pendekatan yang akan diambil oleh Pasukan Pematuhan ini adalah untuk memberi nasihat kepada orang ramai dan sektor industri.
“Pasukan ini juga akan memberi amaran jika tahap pematuhan masih tidak memuaskan,
“Sekiranya ada individu atau sektor industri yang masih gagal mematuhi peraturan setelah diberi nasihat dan amaran, maka Pasukan Pematuhan PKPD akan mengambil tindakan mengikut peruntukan dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” ujarnya. – AirTimes