BEIRUT, 18 DIS – Pihak tentera Israel hari ini mendakwa Resolusi 1701 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjadi terbatal dan tidak sah berikutan siri serangan dilancarkan oleh Hizbullah.
Perkara tersebut disuarakan oleh jurucakap tentera Israel, Rear Admiral Daniel Hagari dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Hizbullah akan mengheret Lubnan ke kancah peperangan berikutan tindak-tanduk mereka di kawasan sempadan.
“Situasi di lapangan menunjukkan keadaan yang jelas. Pelanggaran Hizbullah terhadap Resolusi PBB 1701 telah menjadikannya terbatal dan tidak sah,” jelas Hagari.
Menurutnya, tentera Israel akan terus membuat persiapan yang diperlukan bagi menghapuskan ancaman di kawasan sempada mereka.
Resolusi PBB 1701 telah dipersetujui pada 11 Ogos 2006. Ia merangkumi penghentian sebarang persengketaan, penempatan tentera Beirut dan pengunduran tentera Israel dari wilayah selatan Lubnan.
Resolusio ini turut melibatkan pengukuhan pasukan pengaman PBB (UNIFIL) bagi memudahkan kemasukan tentera Lubnan serta juga penubuhan kawasan bebas tentera (demilitirased zone, DMZ) di antara garis biru (Blue Line) dan Sungai Litani.
Penubuhan DMZ ini tidak menegah kehadiran tentera kerajaan Lubnan dan pasukan pengaman UNIFIL.
Resolusi ini diluluskan selepas Perang Lubnan 2006.
Sementara itu, Kementerian Luar Israel menyatakan kegagalan pelaksanaan Resolusi 1701 akan menyebabkan peperangan besar di Selatan Lubnan. Perkara tersebut disuarakan oleh Tel Aviv dalam satu kenyataan selepas Menteri Luar Israel mengadakan pertemuan dengan wakil kerajaan Eropah.
“Pelaksanaan Resolusi 1701 dan menjauhkan Hizbullah dari kawasan sempadan dengan Israel akan mengelakkan sebarang peperangan berlaku,” kata Menteri Luar Israel, Eli Cohen.
Menurutnya, tindakan Hizbullah dibawah telunjuk Iran akan membahayakan Lubnan dan rantau Asia Barat.
“Isu ini boleh diselesaikan dengan 2 cara – melalui diplomasi atau tindakan ketenteraan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant memberi amaran “Hizbullah akan menerima padah berikutan siri serangan yang berlaku di kawasan sempadan Lubnan”.
“Jika Hezbollah mahu mempertingkatkan serangan mereka terhadap Israel, mereka perlu bersedia untuk berhadapan dengan serangan balas 5 kali ganda dari Tel Aviv,” kata Gallant seperti yang dilaporkan oleh media Israel. – airtimes.my
#AirTimes #Global #Lubnan