PUTRAJAYA, 29 Ogos – Raptai penuh perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2019 melibatkan 17,353 peserta berjalan lancar di Dataran Putrajaya hari ini.
Berlangsung dalam cuaca cerah, setiap kontinjen termasuk daripada sektor awam, pelajar serta anggota pasukan keselamatan menampilkan elemen patriotrisme dan menolak rasuah seiring dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’.
Selain pertunjukkan aset keselamatan, raptai terakhir turut tertumpu kepada persembahan padang dan pergerakan formasi manusia membabitkan 4,300 pelajar sekolah dari Kuala Lumpur dan Selangor yang diselia Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Raptai dua jam itu turut disaksikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, timbalannya Eddin Syazlee Shith dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Suriani Ahmad.
Orang awam juga dilihat mengambil peluang menyaksikan perjalanan raptai itu.
Bercakap kepada pemberita, Suriani berkata beliau berpuas hati dengan perjalanan raptai penuh itu serta komitmen yang ditunjukkan para peserta.
Beliau berkata penglibatan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar mengetuai perarakan Kontinjen Berkuda Perkhidmatan Awam merupakan sesuatu yang baharu ditampilkan pada sambutan kemerdekaan ke-62 itu.
Pelajar sekolah yang membuat persembahan grafik manusia juga berjaya melaksanakan tugas berat itu dengan cemerlang, yang memberi nilai tambah kepada keseluruhan persembahan.
“Saya amat berpuas hati dengan kelancaran raptai dan yakin persembahan akan menjadi lebih mantap pada hari sebenar sambutan,” katanya, sambil menambah sebanyak 221 aset darat serta 55 pesawat pengangkut dan pejuang turut mengambil bahagian. – Bernama