KUALA LUMPUR, 27 Jun – Bahagian Operasi Pasukan Khas Pertahanan (BOPKP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan latihan kolektif yang melibatkan anggota tempur First Responder Group (FRG) terdiri daripada pasukan khas 3 perkhidmatan bersama pasukan bantuan tempur.
Markas ATM dalam hantaran di media sosialnya berkata, latihan yang dilaksanakan menjurus kepada serangan ke atas sasaran menggunakan kaedah serangan dirancang (Deliberate Action) dan juga serangan serta merta (Immediate Action).
“Dalam latihan ini, BOPKP telah menggunakan doktrin pengoperasian pasukan khas bersama anjing perang di dalam setiap penugasan secara maksimum,
“Konsep penggunaan anjing perang di dalam operasi pasukan khas telah lama dipraktiskan oleh pasukan khas luar negara,” katanya.
Menurutnya, Cawangan Anjing Perang, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) telah mengaturgerak anjing perang jenis Guard Dog, Tracking Dog dan Explosive Detection Dog (EED) bersama handler untuk ditumpangkan ke BOPKP semasa latihan diperingkat kolektif bagi melaksanakan latihan bersama dengan Tim Tempur BOPKP.
Anjing yang terlibat adalah dari baka German Shepherd, Belgian Shepherd, Rottweiler, Labrador, Border Collie dan Pointer.
Katanya, penggunaan anjing daripada jenis Guard Dog yang dijadikan sebagai Attack Dog semasa serbuan dan penggeledahan di sasaran dilihat cukup praktikal dalam meningkatkan keupayaan Tim Tempur BOPKP di sasaran.
Manakala Tracking Dog pula akan digunakan sekiranya terdapat musuh yang berjaya melarikan diri semasa serangan dilaksanakan.
“Anjing EDD akan digunakan untuk memastikan tiada bahan letupan atau Improvise Explosive Device (IED) yang berkemungkinan dipasang oleh pihak musuh di sasaran,” jelasnya.
Gabungan kemahiran dan kepakaran anggota pasukan khas bersama anjing perang serta handler membolehkan BOPKP dapat melaksanakan penugasan dengan lebih efisen, efektif dan komprehensif dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman yang semakin kompleks. – airtimes.my