KUALA LUMPUR, 16 Jun – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan seramai 35 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu Operasi Penguatkuasaan ‘Op Sapu’ pada Rabu lalu.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh memaklumkan, operasi tersebut telah dijalankan pada jam 4.45 pagi di Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan, Selangor.
Operasi tersebut telah dilakukan oleh 96 orang pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Anti – Pemerdagangan Manusia serta Pasukan Khas Taktikal Khas (PASTAK) Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya.
Beliau berkata, seramai 95 orang warga asing telah diperiksa dan hasilnya seramai 35 orang PATI yang berumur diantara 21 hingga 52 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi tersebut.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 17 lelaki warganegara Myanmar, 13 lelaki warganegara Bangladesh, 2 lelaki warganegara India, Indonesia (2) dan seorang lelaki warganegara Yemen,
“Kesemua mereka dipercayai bekerja di pasar borong tersebut sebagai pekerja am,
“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, ketika pemeriksaan dijalankan, terdapat 42 lelaki dan 3 perempuan warganegara Myanmar yang memegang kad UNHCR.
“Semasa serbuan dilakukan, pasukan operasi berdepan dengan PATI yang cuba melarikan diri dari kepungan,
“Ditambah dengan cuaca hujan pada pagi tersebut dan keadaan gelap menyebabkan ada PATI yang berjaya meloloskan diri,” jelasnya lagi.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan ini diambil setelah menerima aduan awam berhubung PATI yang bekerja di Pasar Borong tersebut tanpa Pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.
Tambahnya, kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut. -airtimes.my