LUMUT, 11 Mei – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melaksanakan Eksesais Perang Pangkor 1/2021 untuk menguji tahap pengoperaian kapal, sistem dan persenjataan di perairan Lumut, semalam.
TLDM dalam hantaran di media sosial rasminya berkata, eksesais ini juga untuk meningkatkan kemahiran serta kecekapan anggota kapal dari masa ke semasa.
“Eksesais ini melibatkan 5 buah kapal iaitu KD Lekir, KD Gagah Samudera, KD Laksamana Tan Pusmah, KD Laksamana Tun Abdul Jamil dan KD Laksamana Hang Nadim,
“Semangat ‘esprit the corps’ yang diterapkan dalam setiap warga kapal turut dapat dilihat dan ianya boleh dibanggakan apabila latihan ini telah memperlihatkan penglibatan pegawai dan anggota bagi mencapai objektif yang digariskan,” kata hantaran itu.
Antara latihan yang dilaksanakan adalah pandu arah gelap, pandu arah terang, melalui latihan bebas periuk api, anti air warfare exercise dan manuvera taktis.
“Latihan special ship boarding turut dilaksanakan di KD Lekir dengan penglibatan tim menggeledah daripada Pasukan Khas Laut (PASKAL),
“Turut diadakan latihan Melawan Kebakaran dan Mengawal Kebanjiran (MKMA) bagi menentukan warga kapal sentiasa siap siaga dalam menentukan keselamatan kapal dan warganya semasa pelayaran di laut,” ujarnya.
Menurut hantaran itu, walaupun negara masih berada dalam keadaan aman, TLDM sentiasa mengambil berat dalam kesiapsiagaan bagi mempertahankan kedaulatan perairan negara bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlakunya ancaman musuh luar atau dari pihak yang tidak bertanggungjawab. – airtimes.my