LUMUT, 10 OKT – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan distruktur semula menjadi sebuah angkatan masa hadapan dengan kredibiliti yang menepati kemajuan teknologi, cabaran masa depan dan harapan rakyat.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, penstukturan itu selaras dengan pelan Strategi Ketenteraan Negara 2.0 yang dilancarkan sebelum ini sebagai dokumen strategi tertinggi ATM.
“Keupayaan ketiga-tiga perkhidmatan darat, laut dan udara akan dipertingkatkan secara holistik dan berpegang kepada trilogi 3M iaitu manusia, mesin dan method (kaedah),” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari ATM Ke-90 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, hari ini.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Mohammad berkata, penstrukturan semula itu juga menyokong Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang menetapkan hala tuju strategik pertahanan sehingga 2030 dalam mempertahankan kedaulatan, keutuhan wilayah dan kepentingan negara.
“Komponen terpenting bagi tonggak strategi pertahanan atau cegah rintang berpadu kini giat dilaksanakan dalam membina angkatan masa hadapan sebagai perisai negara yang berpaksi kepada postur bersepadu, tangkas dan berfokus,
“Saya dibantu oleh Panglima-Panglima Perkhidmatan yang dilihat sebagai penjana keupayaan daya tempur menerusi konsep `raise, train and maintain’ (tingkat, latihan dan kekalkan),
“Panglima Angkatan Bersama selaku nadi tempur kepada aplikasi tindak balas ketenteraan melalui kaedah `operate and sustain’ (pengoperasian dan mampan),” ujarnya lagi.
Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera dan penonton menyaksikan perbarisan tempur statik melibatkan seramai 30 pegawai dan 306 anggota daripada 4 kontinjen yang terdiri daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Gabungan Pasukan Khas.
Turut diadakan segmen demontrasi keupayaan ATM yang memperlihatkan kompetensi ketiga-tiga cabang perkhidmatan serta keupayaan aset iaitu Kenderaan Perisai AV8 Gempita, Kenderaan Berperisai Berantai ACV 300 Adnan, Kenderaan Pelancar Roket Igla SLU, Kenderaan Pelancar Roket Astros II dan Helikopter Agusta LOH A109.
“Selain itu, Helikopter MD 530G, Supacat ATMP dan Kenderaan Pengangkut Senjata VAMTAC S3 MK 19 dari TDM, Helikopter AW 139 (HOM), Helikopter Super Lynx, Helikopter Fennec, Fast Combat Boat (FCB) dan Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) dari TLDM turut terlibat,
Pesawat Pengangkut C-130 Hercules, Pesawat Tempur Hawk 108/208, Helikopter EC 725 dan Kenderaan Pelancar Misil Starstreak dari TUDM selain penglibatan pegawai dan anggota dari Gerup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Udara (PASKAU),” jelas Markas ATM. -airtimes.my
#pertahanan #airtimes #ATM #HariATM90