SUNGAI UDANG, 8 Nov – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang menyaksikan pertarungan 4 penjuru di antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Bebas.
Kesemua calon kerusi N11 Sungai Udang pada pilihan raya kali ini merupakan muka baharu.
Calon Bebas, Mejar Jeneral (Bersara) Datuk Mohd Zahar Hashim merupakan veteran tentera yang diberikan kepercayaan oleh Parti Kemakmuran Negara, parti baharu ditubuhkan pada tahun ini.
Parti tersebut turut mencalonkan seorang lagi veteran tentera, Mejar (Bersara) Mohd Jaini Dimon, yang bertanding di N13 Paya Rumput.
Namun begitu, pendaftaran parti tersebut masih belum mendapat kelulusan dari pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
“Harapan saya agar semua pengundi Sungai Udang membuat satu perubahan untuk memilih saya untuk mewakili mereka pada PRN kali ini,
“Saya percaya pengalaman dan kemahiran yang ditimba sepanjang perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia dapat digunakan untuk menjamin kesejahteraan serta pembangunan kawasan Sungai Udang,” kata Zahar kepada Air Times.
Sementara itu, calon PH, Hasmorni Tamby menyuarakan bahawa beliau bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat N11 Sungai Udang kelak.
“Jika saya dipilih oleh pengundi untuk mewakili mereka, pertama sekali akan menerima amanah ini kerana Allah taala untuk membantu rakyat yang dalam kesempitan kerana COVID-19,” katanya.
PN pula diwakili oleh Dr Mohd Aleef Yusof.
Sementara itu, UMNO yang bertanding atas tiket BN mempertaruhkan Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad untuk mempertahankan kemenangan parti itu yang dicapai pada tahun 2018 lalu.
“Harapan saya agar seluruh pengundi Sungai Udang memberikan kepercayaan kepada BN yang telah terbukti berjuang demi kesejahteraan rakyat,” katanya selepas pengumuman calon bertanding di Dewan Keris Laksamana, hari ini.
Kerusi DUN Sungai Udang dimenangi oleh BN yang pada ketika itu diwakili oleh Datuk Seri Idris Haron. Beliau menewaskan saingan calon PH, Mohd Lokman Abdul Gani dari Parti Keadilan Rakyat dengan majoriti 2,229 undi.
Idris kini bertanding di Asahan atas tiket PH. – airtimes.my