KUALA LUMPUR, 29 Nov – Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Dr Mohd Hatta Md Ramli memaklumkan, langkah itu diambil sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan Nasional.
Menurut Mohd Hatta, pihaknya memandang Pilihan Raya DUN Tioman sebagai satu pertembungan kerajaan baharu Pahang dengan kelompok ekstremisme kaum dan agama.
“AMANAH melihat keperluan mewujudkan perpaduan erat dalam kalangan komponen kerajaan negeri dalam menentang calon Perikatan Nasional (PN),
“Oleh yang demikian, AMANAH yang juga sebahagian komponen PH, mengambil keputusan memberi laluan kepada calon BN di Tioman sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam saingan PRU-15 bagi DUN Tioman 7 Disember depan menyaksikan saingan 5 penjuru membabitkan calon PN, Nor Idayu Hashim; Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN); Osman A Bakar (PEJUANG), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas).
Pengundian PRU-15 DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN bagi kerusi itu, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada hari pengundian 19 November lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan proses pengundian 7 Disember depan manakala 3 Disember untuk pengundian awal.
Mengulas lanjut, Mohd Hatta berkata, bagi memenangkan calon mewakili Kerajaan Perpaduan Pahang itu, jentera pilihan raya PH akan bergerak bersama di setiap kempen BN dalam pilihan raya itu.
Tegasnya, menerusi kerjasama itu, keutuhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat diperkuatkan demi kepentingan rakyat, agama dan negara.
“AMANAH juga menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong bagi pembentukan kerajaan Pahang di bawah pimpinan PH dan BN yang berlaku semalam,
“Selain itu, AMANAH mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga ADUN Jelai yang dilantik sebagai Menteri Besar Pahang,” jelasnya lagi. -airtimes.my