KOTA BAHRU, 6 Nov – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (Bersara) Datuk Khlir Mohd Nor mengakui terpaksa bekerja lebih keras bagi meraihkan sokongan rakyat di kawasan itu.
Beliau yang juga bekas Ketua Perisikan Tentera Darat berkata, pihaknya akan segera mendapatkan maklum balas pengundi mengikut kumpulan usia bagi memenuhi aspirasi mereka.
Tegasnya, walau tidak mempunyai manifesto khusus buat pengundi di Ketereh, namun, beliau berjanji akan melakukan yang terbaik untuk mereka sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Khlir bagaimanapun turut berjanji akan membela nasib pesara tentera dan tentera yang masih berkhidmat sekiranya diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.
“Salah satu sebab saya menceburi bidang politik ini adalah untuk membela nasib tentera atau bekas tentera yang ada sekarang ini,
“Saya yang sudah berkhidmat 40 tahun dalam tentera, saya kena bela mereka. Saya ada cara saya,
“Setakat hari ini, tiada yang berpangkat Jeneral bertanding di Kelantan, saya yang pertama. Jadi saya menyeru kepada semua pengundi Ketereh tidak kira dari golongan belia, orang dewasa, tua mahupun bekas tentera beri peluang kepada saya,
“Insya-Allah saya akan memperjuangkan nasib mereka. Saya akan tentukan Parlimen Ketereh ini sebagai kawasan yang baik dan selesa kepada semua penduduknya,” katanya dalam sidang media di Pusat Media PAS Kelantan, hari ini.
Parlimen Ketereh menyaksikan pertembungan 4 penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), PN, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).
BN diwakili Ketua Puteri UMNO Ketereh, Marzuani Ardila Ariffin manakala PH pula mempertaruhkan Rahimi L Muhamud, dan PEJUANG diwakili Haneef Ibrahim.
Kerusi Parlimen Ketereh disandang BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu yang ditandingi bekas setiausaha agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.
Bagaimanapun nama Annuar digugurkan sebagai calon oleh BN pada PRU-15 kali ini.
Dalam masa yang sama, beliau yang bertanding menggunakan tiket PAS turut mengakui mempunyai hubungan rapat dengan bekas Ahli Parlimen Ketereh tersebut.
Malah jelasnya, beliau pernah membantu Ketua UMNO Ketereh terbabit pada beberapa siri Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.
“Saya pernah tolong beliau sehingga membolehkannya menjadi wakil rakyat Parlimen Ketereh beberapa penggal,
“Dan sekarang sudah sampai masanya beliau membantu saya pula pada pilihan raya kali ini kerana kami berkawan baik,” ujarnya berseloroh. -airtimes.my