SIBU, 5 Nov – Seorang pesara tentera laut lesap wang sebanyak RM17,200 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan ‘parcel scam’ pada Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, terdahulu mangsa menerima satu mesej melalui telefon bimbit daripada seseorang yang memperkenalkan diri sebagai pegawai marin bernama ‘Sandra’ yang mengatakan ingin mengirimkan hadiah.
“Pada 1 November, jam lebih kurang 3 petang, pengadu (mangsa) menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai wakil kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), memberitahu diplomat dari luar negara bernama ‘Gonzales’ telah tiba di KLIA dengan membawa barang kiriman untuk mangsa.
“Mangsa tidak pasti jenis barang yang hendak dikirimkan kepadanya. Wakil kastam tersebut memberikan satu nombor akaun dan meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun yang diberi bagi tujuan insurans dan pembayaran kastam,” katanya kepada pemberita, pada Ahad.
Stanley berkata, mangsa kemudian memasukkan wang melalui enam transaksi ke nombor akaun yang diberi berjumlah RM17,200.
Selepas memasukkan wang ke dalam akaun suspek, mangsa dikatakan masih tidak menerima sebarang hadiah seperti yang dijanjikan oleh suspek.
“Suspek juga gagal dihubungi oleh mangsa selepas itu. Pesara kemudian membuat laporan polis selepas menyedari dirinya telah ditipu.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.