MELAKA, 19 Ogos – Pasukan Tentera Darat (TD) 1 yang diwakili oleh 10 Briged (10 Bgd) (PARA) telah dinobatkan juara keseluruhan Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat (UKMTD) 2022.
Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam hantaran media sosialnya berkata, sebanyak 11 markas formasi telah telibat dalam UKMTD dan kategori Unit Besar telah disandang oleh 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK).
“Manakala juara Unit Kecil telah disandang oleh 10 Bgd (PARA),
“Dalam pertandingan kali ini turut melibatkan acara menembak lorong hutan, Pistol, Raifal lelaki dan Wanita, Jatuh Piring, Tim Mesingan Kegunaan Am, Tim Mesingan Ringan serta Serangan Seksyen,
“Sarjan Mohd Fiqrie Mohd Disa dari 10 Bgd (PARA) telah dinobatkan sebagai Jaguh menembak UKMTD 2022,” jelas TDM.
Terdahulu, UKMTD Tahun 2022 yang diadakan sejak 12 Ogos 2022 yang lalu secara rasminya telah melabuhkan tirainya pada semalam.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Seri Zamrose Mohd Zain di Lapang Sasar Kem Terendak, Melaka.
“Acara novelti Jatuh Piring Pistol dan Rifle turut dipertandingkan yang melibatkan tim pegawai-pegawai kanan TDM, serta jemputan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” jelas TDM.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Seri Affendi Buang TUDM; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Haji Ayob dan Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div), Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim selaku tuan rumah. – airtimes.my