KUALA LUMPUR, 1 Mac – Hujan gerimis sejak awal pagi tidak menghalang semangat warga Tentera Darat Malaysia (TDM) untuk menjayakan Istiadat Perbarisan dan Perutusan Sempena Hari Tentera Darat ke-90 pada hari ini.
Jika sambutan tahun lalu berkonsepkan perbarisan tempur dan demontrasi keupayaan atur gerak aset-aset, namun kali ini Tentera Darat membawa kelainan dengan membawa perbarisan yang penuh rejimental serta tradisi ketenteraan yang melibatkan 16 kor dan rejimen Tentera Darat.
Hari Tentera Darat yang disambut setiap tahun itu merupakan acara tradisi yang dianjurkan bertujuan mengukuhkan kesatuan warga Tentera Darat serta mengeratkan hubungan dengan masyarakat.
Ia juga bagi mengenang kembali pengorbanan warga tentera terdahulu yang telah berjuang demi mengekalkan kedaulatan negara.
Mengangkat tema sama seperti tahun lalu iaitu ‘Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin, ia membawa maksud aspek kebajikan dan keperluan warga Tentera Darat menjadi fokus utama demi kelangsungan kesiapsiagaan Tentera Darat dalam menjaga kedaulatan tanah air.
Istiadat perbarisan kali ni turut menyaksikan perarakan 7 Panji-Panji Kor dan Rejimen Tentera Darat yang terdiri dari Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD): Rejimen Renjer Diraja (RRD); Kor Armor Diraja (KAD); Rejimen Semboyan DIraja (RSD); Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD); Rejimen Astileri Diraja (RAD) dan Kor Perkhidmatan Diraja (KPD).
Majlis ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain di padang kawad Rejimen Pertama Askar Melayu Diraja (1 RAMD), Kem Sungai Besi.
Beliau dalam perutusannya menjelaskan, pemilihan konsep ini dibuat bagi meneguhkan jati diri serta memupuk semangat kesatuan yang tinggi dalam kalangan warga TDM.
“Sambutan kali ke-90 ini juga amat signifikan kerana ia bersamaan dengan nombor badan atau nombor tentera perwira terulung negara, iaitu Leftenan Adnan Saidi yang jasa dan pengorbanannya sentiasa dikenang dari dulu hingga kini,
“Adalah menjadi harapan saya, kekentalan semangat pahlawan negara ini akan dihayati, ditanam teguh dalam jiwa serta dicontohi oleh seluruh warga Tentera Darat khususnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya,” katanya.
Tambahnya, sepanjang setahun yang lalu, Tentera Darat telah mengorak langkah dan berjaya membawa ke peringkat yang lebih tinggi sesuai dengan keperluan dan persekitaran keselamatan semasa.
Jelasnya, Tentera Darat berjaya meningkatkan kesiagaan melalui perolehan aset-aset baru dan senggaraan aset-aset sedia ada yang secara langsung telah meningkatkan keupayaan kuasa tembakan, mobiliti serta logistik TDM.
“TDM juga berjaya meningkatkan keutuhan organisasi melalui penyusunan dan penstrukturan semula organisasi, seperti pengisytiharan Rejimen Sempadan (RS) sebagai Batalion Infantri Standard,
“Kita juga telah memperkemaskan aspek pengambilan pegawai dan anggota, dengan membawa masuk lebih ramai pegawai yang berlatar belakangkan sains dan teknologi serta anggota yang berkemahiran ke dalam perkhidmatan,
“Dengan memiliki sumber manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, kita dapat mempersiapkan angkatan untuk menghadapi segala bentuk ancaman 6 termasuk ancaman non-konvensional pada masa kini dan masa hadapan,” jelasnya lagi.
Selain itu, menerusi aspek pelestarian kesejahteraan warga pula, jelasnya, TDM telah berjaya membina baru, menyelengara dan menaik taraf Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang dapat mewujudkan persekitaran hidup yang lebih selesa dan selamat untuk warganya.
“Kita juga telah mewujudkan poliklinik dan ladang integrasi, penganjuran pelbagai program pendidikan dan kerohanian untuk anggota dan keluarga mereka,
“Selain itu, TDM juga melaksanakan Projek Jiwa Murni dan bantuan kebajikan untuk warga yang memerlukan termasuk kepada para veteran dan masyarakat awam,” ujarnya.
Menurutnya, Tentera Darat juga berpeluang meneroka kerjasama baru apabila menjalin kerjasama bersama 2 buah negara arab iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.
Dalam masa yang sama, beliau turut menjelaskan, Tentera Darat memfokuskan 3 agenda utama bagi menjamin kecemerlangan dapat terus dilakar di masa hadapan.
Ujarnya, 3 agenda utama TDM adalah meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan warga TDM; memperlengkapkan pasukan dalam membantu kerajaan serta kesiagaan dan pengukuhan organisasi Tentera Darat agar sejajar dengan perubahan persekitaran semasa.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh warga Tentera Darat untuk sentiasa bersedia dan mempersiapkan diri bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Saya yakin, jika kita bergerak seiring dan teguh bersatu, kita akan dapat menghadapi apa jua bentuk cabaran yang mendatang,
“Sama-samalah kita merapatkan barisan dan berkerja sebagai satu pasukan demi menjamin kecemerlangan Tentera Darat terus berkekalan,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Zamrose telah menyaksikan perbarisan yang melibatkan seramai 58 orang pegawai dan 1,426 anggota yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-12 RAMD (Mekanize) Leftenan Kolonel Mohd Azamri Abdullah.
Istiadat perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat bersama 7 Panji-Panji ini telah diiringi oleh gabungan Pancaragam Pusat RAMD, RRD, KAD dan Brass Band Wanita RSD yang diketuai Mejar (DOM) Azizan Yahya.
Turut diadakan terbang Lintas Hormat 5 buah pesawat terdiri 3 buah pesawat A109 LOH dan 2 buah pesawat MD 530G.
Panglima Tentera Darat turut berkesempatan menyampaikan beberapa anugerah iaitu Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera (AKPAT), Anugerah Pengurusan Inovasi Tentera Darat (APITD), Penganugerahan Pisau Tentera Darat, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Pingat Kedaulatan Negara (PKN).
Menerusi penyampaian anugerah itu, 3 penerima dianugerahkan Pisau Tentera Darat iaitu Staf Sarjan Eddyfaizam Mohd Pakri (dinaikkan pangkat ke Pegawai Waran II); Koperal Mac Lysander Anak Batu dan Koperal Mohd Shafiq Abidin (dinaikkan langkat dari Koperal ke Sarjan).
Eddyfaizam telah menemukan 4 mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada Disember 2022, manakala Lysander dan Mohd Shafiq mempamerkan keberanian dengan menyelamatkan seorang warga emas dan bayi berusia 3 bulan dalam banjir di Shah Alam dengan berenang sejauh 100 meter melawan arus deras.
Turut hadir, Ketua Staf Angkatan Tentera Malaysia (KS ATM), Leftenan Jeneral Datuk Arman Ruzaimi Ahmad: Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMB TD), Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad. -airtimes.my
Galeri gambar: