KUALA LUMPUR, 31 Mei – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sebak dan hampir mengalirkan air mata ketika menyampaikan ucapan menghargai sumbangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang masih berkhidmat dan berjauhan dengan keluarga sewaktu sambutan Aidilfitri, demi menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.
Ia berlaku ketika beliau sedang menyampaikan ucapannya dalam majlis sumbangan hari raya kepada anggota ATM yang diadakan di Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak di sini hari ini.
Sewaktu di tengah-tengah ucapannya, Mohamad terhenti seketika apabila terkenangkan pengalaman hidup serta pengorbanan anggota ATM yang tidak dapat bersama keluarga pada hari raya kerana perlu bertugas di merata tempat.
“Tentulah lebih hebat tentera kita yang berada di perbatasan menjalankan tugas untuk kepentingan negara dan keselamatan negara.
“Oleh itu, pengorbanan perajurit ini hendaklah disanjung oleh semua pihak,” katanya dalam keadaan sebak.
Dalam majlis tersebut, kira-kira 60 organisasi terdiri daripada syarikat korporat serta individu, menyampaikan sumbangan berbentuk tunai dan barangan bernilai lebih RM1.6 juta kepada ATM.
Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim; Penglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin’ Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.