KUALA LUMPUR, 23 Jul – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Ketua Menteri Melaka, Hj Adly Hj Zahari telah dianugerahkan pangkat Brigadier Jeneral (Kehormat) di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan, hari ini.
Majlis pemakaian pangkat telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.
“Penganugerahan pangkat tersebut telah diperkenakan menerusi kelulusan Majlis Angkatan Tentera ke-575 berkuatkuasa pada 24 Mei 2019,” jelas pihak Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
Penganugerahan pangkat tersebut adalah selari dengan peranan Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Melaka sebagai penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) di negeri masing-masing.
Menurut Kementerian Pertahanan, penaung JAKPAW pada setiap negeri adalah Menteri Besar atau Ketua Menteri yang dilantik menerusi kelulusan Majlis Angkatan Tentera dengan diperuntukkan pangkat Brig Gen (Kehormat).
“Selain daripada itu, penjawatan Pengerusi JAKPAW dikhususkan kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri,
“Pelantikan Pengerusi JAKPAW dibuat oleh Menteri Besar, Ketua Menteri, atau Menteri Wilayah Persekutuan dengan diperuntukkan pangkat Kolonel (Kehormat),” jelasnya.
JAKPAW merupakan satu jawatankuasa yang ditubuhkan di setiap negeri yang bertujuan untuk menggalakkan rakyat untuk menyertai Angkatan Simpana Persekutuan (ASP).
Tujuan organisasi jawatankuasa ini ditubuhkan adalah untuk merancang semua jenis bantuan kepada ASP seperti kem gunasama, mempromosikan Askar Wataniah (AW) di kalangan masyarakat dan menggalakkan penyertaan orang awam menyertai ASP melalui komitmen majikan.
Piagam Jawatankuasa Pendukung Angkatan Sukarela Persekutuan telah ditetapkan menerusi Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) Bilangan 1 Tahun 1996.
“Kesemua penjawatan tauliah kehormat ini perlu mendapat kelulusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) dan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu,
“Penjawatan tauliah kehormat ini boleh ditamatkan sekiranya penyandang melakukan kelakuan yang boleh mencemarkan nama baik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau tidak lagi menyandang jawatan mereka” jelas Kementerian Pertahanan yang menyatakan perkara tersebut adalah termaktub dalam Seksyen 198, Akta Angkatan Tentera.
Turut hadir ke Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Tauliah Kehormat Askar Wataniah ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Seri Ahmad Hasbullah Nawawi.