KUALA LUMPUR, 19 NOV – Bermula 1 Disember, tiada lagi jalan pintas untuk merentasi sempadan Malaysia-Thailand secara haram.
Difahamkan, pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok sering menjadi pilihan kerana menawarkan tambang murah serendah RM1 hingga RM4 bagi perjalanan sehala.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya akan menguatkuasakan sepenuhnya Seksyen 5(2) Akta Imigresen bagi memastikan rakyat mematuhi peraturan dan mempertahankan kedaulatan negara.
“Mana-mana individu yang keluar melalui Sungai Golok dan kembali ke Malaysia menggunakan pangkalan haram akan ditahan, begitu juga warga Thailand yang cuba memasuki negara ini tanpa melalui laluan sah.
“Saya telah mengarahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pegawai untuk menjalankan pemantauan 24 jam di sepanjang sempadan bagi mengekang aktiviti ini,” katanya pada Isnin.
Ujarnya, Polis Kelantan tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang didapati bersalah dengan mengenakan denda maksimum RM10,000.
Dalam pada itu, pangkalan haram bukan sekadar laluan tidak sah tetapi juga sering dimanipulasi untuk kegiatan jenayah seperti penyeludupan barangan terlarang dan perdagangan manusia.
Orang ramai diingatkan untuk menggunakan laluan sah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) bagi sebarang urusan keluar masuk ke Thailand.
Media sebelum ini melaporkan, sekitar 40 pusat hiburan yang terdapat di pekan Golok selama ini ‘dihidupkan’ dengan kedatangan rakyat Malaysia terutama pada hujung minggu yang sebahagian besarnya dipercayai dari Kelantan.
Manakala hampir 500 murid dan pelajar dari Thailand berulang alik masuk ke Malaysia setiap hari melalui laluan air di sepanjang Sungai Golok. -Airtimes.
#PangkalanHaram #SungaiGolok #PertahananDanKeselamatan #Malaysia #Thailand