[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=UrCdFeeAuhw[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 28 Dis – Setelah 2 tahun, 7 bulan dan 25 hari berkhidmat mencurah keringat mengendali
Operasi Benteng (Op Benteng) dalam menjaga keselamatan negara, Pasukan National Task Force (NTF) dibubarkan berkuatkuasa pada 31 Disember ini.
Dengan pembubaran itu maka berakhirnya pelaksanaan Op Benteng yang dianggotai oleh 18 agensi keselamatan dan penguatkuasaan sejak tahun 2020 bagi mengekang penularan wabak COVID-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga memasuki Fasa Endemik pada 1 April 2022 yang lalu.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM telah mengumumkan pembubaran pasukan itu secara rasmi dalam satu majlis, hari ini.
Beliau berkata, pembubarannya telah diarahkan melalui Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) bilangan 2 tahun 2022, setelah mengambilkira situasi pandemik COVID-19 negara dan dunia yang semakin terkawal.
“Setelah 2 tahun, 7 bulan dan 25 hari menyumbang kejayaan demi kejayaan, kita harus menerima hakikat bahawa organisasi bersepadu yang merangkumi pelbagai agensi ini perlu dibubarkan,
“Pembubarannya telah diarahkan melalui Sidang Majlis Keselamatan Negara bilangan 2 tahun 2022, setelah mengambilkira situasi pandemik COVID-19 negara,
“Apa jua keputusannya, saya amat berpuas hati dengan segala usaha kawal selia dan pengurusan NTF serta pelaksanaan Op Benteng. Saya juga percaya bahawa kita semua telah menggembleng seluruh tenaga melakukan yang terbaik untuknya,
“Yakinlah, organisasi bersepadu pelbagai agensi yang julung kalinya diwujudkan ini, telah berjaya membuktikan keberkesanannya dengan sangat signifikan dan amat relevan sekali,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Perkhidmatan Operasi Benteng 2020-2022 Sempena Pembubaran National Task Force, di Kementerian Pertahanan, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Mohd Daud dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Mohd Zubil Mat Som.
Mengulas lanjut, beliau berkata, organisasi bersepadu pelbagai agensi yang julung kalinya diwujudkan ini, telah berjaya membuktikan keberkesanannya dengan signifikan dan amat relevan sekali.
“Kejayaan penyatuan kesemua 18 agensi ini bukan hanya dikecapi oleh NTF, malah ianya telah memperlihatkan kepada rakyat bahawa NTF serius terhadap mengekang pencerobohan kemasukan PATI ke dalam negara,
“Konsistensi di dalam setiap aktiviti pengusiran, tangkapan dan rampasan melalui Op Benteng telah memberi impak positif sehingga dapat mewujudkan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi oleh rakyat,
“Penghormatan ini sekaligus mengundang rakyat untuk bersama-sama secara sukarela, menjadi mata dan telinga di dalam setiap kejayaan Op Benteng secara keseluruhannya,” katanya lagi.
Jelasnya, pembentukan NTF bukan suatu tugas yang mudah kerana setiap agensi mempunyai keutamaan strategik tersendiri selain amalan tugas berbeza-beza termasuklah kekangan sumber manusia serta peralatan bersesuaian untuk ditugaskan di lapangan.
Namun berkat kebijaksanaan barisan kepimpinan serta komitmen tinggi oleh segenap lapisan warga di setiap agensi, segala kekangan dalam penguatkuasaan diatasi secara berkesan.
Tambahnya, setiap warga telah menunjukkan tekad yang tinggi selain bertolak ansur bagi mencari titik penyatuan sehingga membolehkan kelancaran organisasi NTF dan Op Benteng dilaksanakan.
“Oleh yang demikian, apa yang boleh saya katakan di sini adalah arahan untuk mewujudkan NTF merupakan suatu tindakan yang tepat oleh kerajaan kerana ia bukan sahaja berjaya memperkasakan kawalan sempadan dan maritim negara malah lebih penting mengajar kita pendekatan whole of government and whole of society (WoGoS) merupakan formula terbaik dalam memastikan pemeliharaan kesejahteraan dan keselamatan nasional secara menyeluruh,” ujarnya.
Menurutnya, semua pihak harus akur bahawa NTF akan dibubarkan dan selepas itu, agenda pemerkasaan kawalan sempadan negara akan diteruskan melalui mekanisme sedia ada di bawah kerangka Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Pun begitu, saya percaya bahawa keyakinan semua pihak bersatu hati dalam meyakinkan pihak yang bertanggungjawab untuk menggunakan model NTF disamping mengambil semangat yang dibawanya dalam meneruskan agenda pemerkasaan kawalan keselamatan sempadan negara,
“Ini kerana ia telah diuji bagi satu tempoh yang lama serta sering dikemaskini dari masa ke masa bagi memastikannya kekal relevan serta dapat memberikan impak yang efektif dan efisien,
“Dokumentasi dan perekodan harus dilakukan dengan menyeluruh demi memastikan ianya terpelihara dan sebaiknya turut juga diwar-warkan untuk pengetahuan jabatan-jabatan kerajaan lain khususnya,
“Hanya dengan cara ini, mesej keberkesanan WoGoS akan dapat dikongsi serta lebih pentingnya, jika keadaan seperti pandemik menyerang semula, negara akan lebih bersedia untuk menghadapinya,
“Bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kami akan terus bertekad memberikan sumbangan dan bantuan kepada semua pihak dalam apa jua situasi demi mendukung aspirasi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur,” katanya lagi.
NTF ditubuhkan pada 6 Mei 2020 membabitkan gabungan 18 agensi penguat kuasa dan keselamatan kerajaan yang bertanggungjawab mengekang menularan wabak pandemik COVID-19.
Op Benteng melalui kuasa Akta 342 iaitu Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, digerakkan oleh NTF bagi membanteras kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke dalam negara serta mengekang penyebaran wabak COVID-19.
Sepanjang pelaksanaan Op Benteng, sejak Mei 2020 hingga 26 Disember 2022, seramai 7,490 tangkapan dibuat membabitkan 1,444 orang tekong, 23, 894 PATI dan 1,377 orang dalam tempoh sama serta rampasan sebanyak RM1.10 bilion berjaya dikumpulkan. -airtimes.my